
Naib Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia, Danial Chan berkata perniagaan kecil melaporkan margin keuntungan yang lebih rendah kerana mereka bergantung kepada kenderaan berkuasa diesel untuk operasi harian.
Dengan kos isian penuh tangki diesel kini mencecah antara RM500 hingga RM600, beliau berkata subsidi dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan harga diesel.
Beliau turut mencadangkan penggunaan mekanisme sama seperti skim BUDI95 untuk petrol RON95 bersubsidi, dengan menyatakan ia boleh membantu menstabilkan permintaan terhadap kenderaan diesel selain menyokong perniagaan kecil.
“Pengguna diesel sepatutnya layak menerima subsidi bersasar seperti pengguna petrol. Ini akan membantu meningkatkan jualan kenderaan dan mengurangkan kos operasi,” katanya kepada FMT.
Diesel tanpa subsidi kini dijual pada harga RM6.72 seliter di Semenanjung Malaysia sehingga 15 April, meningkat 70 sen daripada RM6.02 seliter pada minggu sebelumnya.
Harga bahan api melonjak susulan konflik Iran, namun diesel di Malaysia Timur masih dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil sebelum ini berkata Putrajaya sedang mengkaji mekanisme untuk menyalurkan subsidi termasuk diesel menggunakan sistem MyKasih yang digabungkan dengan MyKad.
Beliau berkata Kementerian Kewangan akan memperhalusi mekanisme tersebut sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.
Kesan limpahan
Presiden Persatuan Pengusaha Lori Tipper, Michael Loo berkata sektor itu berkait rapat dengan industri pembinaan, termasuk pengangkutan bahan seperti pasir, simen, agregat, produk kuari dan unsur nadir bumi.
“Ia merupakan penyumbang utama kepada ekonomi. Jika kami terjejas, akan berlaku kesan limpahan,” katanya sambil menambah pengusaha mungkin terpaksa mengurangkan jumlah perjalanan bagi mengurangkan kos.
Beliau memberi amaran gangguan sedemikian akhirnya boleh menjejaskan pekerja pembinaan melalui pengurangan waktu kerja.
Loo menyambut baik semakan subsidi diesel oleh kerajaan dan menggesa Putrajaya bertindak segera.
Beliau mencadangkan subsidi sehingga 1,000 liter diesel sebulan bagi lori. Katanya, penggunaan harian diesel lazimnya antara 150 hingga 200 liter.
“Kami tidak meminta subsidi penuh. Kami faham keadaan mencabar dan bersedia berkongsi beban dengan kerajaan. Namun, kami berharap kerajaan turut campur tangan dengan bentuk sokongan tertentu,” katanya.
“Daripada menunggu sehingga terlambat, tindakan perlu diambil sekarang. Kerajaan perlu mengimbangkan keadaan.”
Sementara itu, Persatuan Lori Haulier Malaysia berkata ahlinya masih dilindungi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Presidennya, Soo Chee Yeong berkata kebanyakan pengendali pengangkutan komersial kini membayar sekitar RM2.15 seliter di bawah SKDS dan tidak terjejas secara ketara oleh kenaikan harga diesel baru-baru ini.
Pada Khamis, seorang pengendali bas ekspres menggesa kerajaan meningkatkan kuota subsidi diesel bulanan bagi bas ekspres yang menggunakan fleet cards daripada 6,000 liter kepada 10,000 liter.
CEO Konsortium E-Mutiara Bhd, Che Ibrahim Che Ismail berkata kuota semasa syarikatnya sebanyak 6,000 liter hanya mencukupi untuk kira-kira 20 hari, lapor Harian Metro.