
Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata, menurut Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita cedera di bahagian perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya ketika berlaku pertengkaran mulut antara mereka semalam.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.30 pagi, yang melibatkan mangsa berusia 35 tahun yang ditikam di bahagian perut oleh anak saudaranya.
Katanya, siasatan awal mendapati remaja perempuan itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah keluarga.