
Katanya, selain “kemenangan” Najib berkait permohonan kebenaran semakan mengemukakan keterangan baharu menghabiskan baki pemenjaraan bawah tahanan rumah, badan kehakiman juga jelas “menang nyata”.
“Tetapi, yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman.
“Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Hassan turut mempersoalkan desakan supaya Anwar meletak jawatan susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam, atas dakwaan perdana menteri perlu bertanggungjawab.
“Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan Anwar Ibrahim, tetapi peguam negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara.
“Apakah kita mahu Anwar campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut ‘Federal Counsel’ dan peguam negara di Jabatan Peguam Negara?” soalnya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menuntut Anwar meletak jawatan selepas menyatakan penafian kewujudan perintah adendum itu mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dan merupakan pencabulan hak Najib mendapatkan perbicaraan dan keadilan yang adil.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pula menuduh Anwar sengaja menyembunyikan titah itu, sambil mendakwa beliau menafikan titah Agong yang merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara.
Semalam, sidang tiga hakim di Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti, juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu apabila merit kes diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Firuz Jaffril, berkata Najib memenuhi kriteria seperti mana disebut dalam keputusan Ladd lwn Marshall untuk mengemukakan bukti baharu.
Ladd lwn Marshall merupakan kes di mahkamah rayuan England, yang menetapkan kriteria bagi mahkamah untuk menerima keterangan baharu dalam kes yang sudah diputuskan.
Firuz berkata, bahawa Najib telah, selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai, memperoleh salinan titah adendum daripada Sultan Pahang, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Firuz menambah kerajaan tidak beri sanggahan yang kukuh terhadap keterangan yang dikemukakan Najib.
Hakim Azhahari Kamal Ramli bersetuju dengan Firuz.
Hakim Azizah Nawawi, yang mempengerusikan sidang Mahkamah Rayuan ini, tidak bersetuju.