Menteri jamin video penuh TMM 2026 serlah keunikan setiap negeri

Menteri jamin video penuh TMM 2026 serlah keunikan setiap negeri

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing turut minta semua pihak elak buat kenyataan negatif dan bangkit sentimen perkauman.

visit malaysia 2026 truly asia logo
Semalam, beberapa pemimpin pembangkang meminta Motac menarik balik video montaj TMM 2026 kerana didakwa cuai tidak mempamerkan elemen masjid.
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing memberi jaminan elemen keunikan di setiap negeri akan disusun sebaiknya dalam video penuh promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Beliau berkata, beliau ada meminta pengurusan tertinggi seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Roslan Abdul Rahman supaya menambah baik video penuh yang telah siap itu.

“Video ini perlu dibahagi dengan baik supaya pelancong asing tidak rasa keliru akan elemen keunikan negeri masing-masing. Bukan lompat sana sini,” katanya dalam sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan

Tiong King Sing.

Tiong turut menyeru kerjasama semua kerajaan negeri untuk menyalurkan maklumat mengenai elemen kebudayaan termasuk destinasi pelancongan dan makanan istimewa.

“Tapi kalau negeri-negeri tak bagi peluang, macam mana kita nak lakukan?

“Kalau kita betul-betul ada silap datang pejabat kita bincang selesaikan,” katanya meminta semua pihak tidak membuat kenyataan negatif atau memainkan sentimen yang boleh menjejaskan sektor pelancongan.

“Sekarang tengah huru-hara masyarakat kata rasis dan main perkauman.”

Kenyataan Tiong itu menyusul kritikan beberapa pemimpin pembangkang meminta Motac menarik balik video montaj TMM 2026 kerana didakwa cuai tidak mempamerkan elemen masjid, selepas memuatkan paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.

Exco Pemuda Bersatu Ad Adib Shaharuddin berkata perlu ada kandungan video lebih seimbang dan tidak meminggirkan majoriti penduduk negara beragama Islam.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar pula menyeru kementerian memberi penjelasan berkenaan isu tersebut dan mengambil tindakan segera.

Bagaimanapun Tiong mempertahan video montaj yang dikritik itu hanya video pelancaran ringkas dan pendek dengan durasi 41 saat, serta menegaskan elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video lebih terperinci dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.