
Beliau menjelaskan perkara tersebut bagi menyangkal dakwaan kerajaan sorok titah tersebut.
“Surat itu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan. Peguam negara kemudian, bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan).
“Itu keadaan dia. Bukan kita sorok,” katanya ketika berucap di program Muhibbah Madani.
Najib pada Isnin peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.
Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang merupakan urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, mengesahkan tidak menerima sebarang titah adendum daripada Istana Negara untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Pada 2 Feb tahun lalu, lembaga tersebut mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya dikurangkan separuh dari 12 kepada enam tahun dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Beliau kini menjalani hukuman di penjara Kajang.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa juga menyangkal beliau menyembunyikan titah adendum tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tiada apa yang menghalang Najib membuat rayuan baharu kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang, yang mempengerusikan lembaga tersebut.
“Terus sahaja lah,” katanya, sambil membidas PAS dan Bersatu kerana ‘menumpang’ isu ini.
Pada 3 Jan lalu, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Istana Negara berkata mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang.