
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Isa, berkata sementara menunggu arahan itu, anggota terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya (terhadapnya) sebaik sahaja AGC memberi arahan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di IPK Kuala Lumpur, hari ini.
Bulan lalu, polis telah melancarkan siasatan dalaman selepas mangsa mendakwa di Instagram bahawa anggota terbabit membuat isyarat lucah ke arahnya ketika dia mengambil gambar pada protes hak asasi manusia di ibu negara.
Dia mendakwa bahawa isyarat itu diulang beberapa kali oleh anggota terbabit untuk memastikan ia dapat dilihat.
Dalam perkembangan lain, Rusdi berkata kertas enkuiri polis (KEP) terhadap laporan polis berhubung isu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ membabitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah dirujuk ke AGC.
“Apabila didapati berlaku kesalahan, barulah kertas enkuiri polis (KEP) ditukar menjadi kertas siasatan,” katanya.
Tambahnya, KEP dibuka kerana polis tidak pasti dengan kesalahan yang dilakukan dan perlu mendapatkan arahan lanjut daripada AGC.
Polis sebelum ini menerima 182 laporan di seluruh negara yang menggesa Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku Yeoh atas alasan keselamatan negara.
Mengenai kejadian simbah cat ke atas kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya (UM), Rusdi berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua individu dipercayai terlibat.
Polis masih belum mengenal pasti suspek.