Malaysia, Indonesia komited pastikan kerjasama berterusan Petronas-Pertamina, kata PM

Malaysia, Indonesia komited pastikan kerjasama berterusan Petronas-Pertamina, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kerjasama Petronas dan Pertamina dialu-alukan untuk meneroka haluan dan bidang perniagaan baharu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Menara Berkembar PETRONAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia dan Indonesia terus komited untuk memastikan kerjasama berterusan antara syarikat minyak dan gas nasional kedua-dua negara iaitu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PT. Pertamina (Persero) dari Indonesia.

“Komitmen kita (adalah) untuk memastikan kerjasama Petronas dan Pertamina, dua syarikat kepimpinan gergasi di rantau ini supaya lebih mempunyai kesepakatan untuk meneroka, mengalu-alukan haluan dan juga bidang perniagaan baharu,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama-sama Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersempena Lawatan Negara pertama opresiden tersebut ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata kedua-dua negara juga bersetuju memanfaatkan segala kekuatan untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan.

Menurutnya, Indonesia mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pertahanan dan Malaysia bersedia melihat sebarang bentuk jalinan kerjasama yang ada.

“Harus ada kesediaan pihak Malaysia untuk melihat apa yang mungkin kita peroleh dari Indonesia dan yang tentunya lebih utama ketimbang memperoleh atau membeli dari negara-negara lain.

“Jadi hal itu hanya akan berlaku sekiranya ada bukan sahaja persefahaman tapi kedekatan, keyakinan dan trust dalam kalangan pimpinan dan pasukan pimpinan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.