
Sehubungan itu, ketua pembangkang DUN Perak itu menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada Yeoh, YTL dan pihak terkesan dengan kenyataannya terbabit.
Bagaimanapun, Adun Gunung Semanggol itu mendakwa laporan media berkait isu terbabit hanya mengambil kira 10 saat daripada 30 minit daripada ceramahnya, semalam.
“Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia kesilapan kata-kata yang berlaku tanpa sengaja.
“Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain selain kejayaan program tiga hari tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau merujuk kepada program Gerak Muafakat Perak diadakan selama tiga hari membabitkan tiga dewan utama PAS.
Terdahulu, Yeoh membidas Razman yang mendakwa dirinya mempunyai kaitan dengan keluarga Yeoh yang memiliki konglomerat YTL Corporation Bhd.
“PAS perlu tahu bahawa tidak semua (nama) Yeoh mempunyai kaitan,” kata pemimpin DAP itu.
YTL diasaskan mendiang Yeoh Tiong Lay sebagai sebuah syarikat pembinaan kecil. Sejak itu ia telah menjadi salah satu konglomerat terbesar di Malaysia yang terlibat dalam utiliti, hotel dan pembangunan hartanah.
Anak lelaki Tiong Lay, Francis, kini merupakan pengerusi eksekutif Kumpulan YTL.
Pada Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan menteri itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan, dua bulan sebelumnya.
Kenyataan Razman berkait Yeoh itu menyusul selepas Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad daripada PAS didapati bersalah memfitnah veteran DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.
Siti Mastura mengaitkan ketiga-tiga ahli DAP itu dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng.
Dakwaan Siti Mastura menyebabkannya diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar ganti rugi kepada ketiga-tiga pemimpin DAP itu sebanyak RM750,000 kerana memfitnah.