
Jurucakap Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli, berkata pihaknya bimbang dengan tindakan pihak berkuasa selepas memanggil 10 pelajar ke IPD Dang Wangi pada 1.30 tengah hari tadi untuk dirakam keterangan.
“Adakah menuntut negara bebas rasuah satu jenayah? Adakah suara anak muda begitu mengancam yang mana mereka perlu didiamkan menerusi siasatan dan intimidasi?” katanya kepada pemberita di pekarangan IPD.
10 pelajar berkenaan dirakam percakapan lebih satu jam setengah.
Menurut Zaim, polis menyoal 27 soalan, namun mereka memilih untuk menjawab di mahkamah sekiranya didakwa.
Katanya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Awam 2012 berkait kegagalan mengemukakan notis mengadakan perhimpunan dalam tempoh ditetapkan.
Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan rakaman keterangan pelajar terbabit, yang mana mereka diiringi lima peguam. Namun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai pelajar lain yang pada awalnya dilapor turut dipanggil.
Sebelum ini, penyelaras mobilasi himpunan, Tobey Qi-Sean dilaporkan sebagai berkata, beliau diberi nama 13 pelajar yang diperlukan untuk memberi keterangan kepada polis.
Qi-Sean berkata, dua daripada pelajar itu dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan akan memberikan keterangan di IPD Kepayan, di Kota Kinabalu pada 7 Feb.
Katanya, daripada 13 individu itu, empat adalah hadirin, manakala selebihnya adalah sebahagian daripada jawatankuasa penganjur. Keempat-empat hadirin turut menyampaikan ucapan semasa perhimpunan itu.
Pada himpunan 25 Jan, menyaksikan 200 berhimpun di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, yang kebanyakan pelajar universiti.