PKR Melaka gesa polis siasat hebahan himpunan ‘Turun Anwar 2.0’

PKR Melaka gesa polis siasat hebahan himpunan ‘Turun Anwar 2.0’

Pemimpin PKR Melaka Eddiarman Mohd Yunos berkata hebahan himpunan itu mengandungi unsur provokasi yang boleh menimbulkan keresahan awam.

Eddiarman Mohd Yunos (dua dari kanan) bersama Ketua Pemuda PKR Melaka Hakimin Mokhtar Gambar PKR Melaka 14526
Eddiarman Mohd Yunos (dua dari kanan) bersama Ketua Pemuda PKR Melaka Hakimin Mokhtar (dua dari kiri) membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam. (Gambar PKR Melaka)
PETALING JAYA:
PKR menggesa pihak berkuasa menyiasat penyebaran hebahan berkaitan himpunan ‘Turun Anwar 2.0’ yang didakwa akan diadakan di Dataran UTC Melaka, Sabtu ini.

Ketua Penerangan PKR Melaka Eddiarman Mohd Yunos berkata laporan polis dibuat selepas pihaknya mengesan hebahan mengenai penganjuran himpunan itu yang didakwa dianjurkan pembangkang.

Menurut Eddiarman, bahan promosi serta hebahan mengenai himpunan itu dilihat mengandungi unsur provokasi politik yang boleh menimbulkan keresahan awam dan menggugat keharmonian masyarakat sekiranya tidak dikawal.

“Tindakan memainkan sentimen politik melampau melalui pendekatan provokatif dan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya adalah tidak bertanggungjawab serta boleh mengelirukan rakyat.

“Budaya politik matang seharusnya berteraskan fakta, hujah dan penghormatan terhadap institusi demokrasi, bukannya menyebarkan propaganda politik yang berpotensi mencetuskan ketegangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan agenda politik kebencian yang boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.