Tular tampar isteri dalam ‘live’, lelaki direman 3 hari

Tular tampar isteri dalam ‘live’, lelaki direman 3 hari

Suspek ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan, pada 10 pagi semalam.

Tangkap layar video tular sebelum ini yang menunjukkan seorang lelaki menampar muka isterinya di hadapan sebuah pusat beli-belah di Sepang.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang dirakam dalam satu video tular menampar muka isterinya di hadapan sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan di Sepang, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Telok Datuk hari ini, bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, lapor Berita Harian.

Media semalam melaporkan suspek ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan, pada 10 pagi semalam.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah sambil memegang bungkusan plastik, sebelum seorang lelaki menghampiri dan menamparnya di khalayak ramai.

Tindakan itu bagaimanapun membawa padah selepas ia secara tidak sengaja dirakam dalam siaran langsung di media sosial.

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.