Penting Asean bantu tamatkan segera krisis Myanmar

Penting Asean bantu tamatkan segera krisis Myanmar

Pemimpin serantau berkata peningkatan jenayah rentas negara memerlukan pelan damai di Myanmar disegerakan.

Mohamad Hasan
Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata krisis di Myanmar turut memberi masalah kepada rantau Asia Tenggara.
LANGKAWI:
Krisis Myanmar yang menyumbang kepada jenayah rentas sempadan lebih besar di Asia Tenggara, menjadikan lebih mendesak untuk Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) menyegerakan proses damai.

Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, menegaskan krisis Myanmar bukan masalah domestik manakala jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura pula menyatakan selain usaha negara rakan serantau, komitmen China juga diperlukan.

Dalam temu bual ekslusif dengan FMT di tepian pemukiman menteri luar di sini, bulan lalu, Mohamad berkata Myanmar telah mengambil alih tempat Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar di dunia.

“Kita tidak mampu untuk berdepan masalah seperti ini dalam keluarga (Asean),” katanya sambil menyatakan Myanmar memerlukan sokongan selaras dengan matlamat keterangkuman dan kemampanan rantau itu pada tahun ini.

Pada 2021, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan dipilih secara demokratik di negara itu yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi dan Liga Demokrasi Kebangsaan.

Pergolakan domestik yang meningkat menyebabkan krisis kemanusiaan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal termasuk pelarian Rohingya dan memaksa ramai terlibat dalam jenayah rentas negara.

Selain perdagangan dadah, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan pada 2023 bahawa sekurang-kurangnya 120,000 orang boleh terperangkap dalam ‘kancah penipuan’ di Myanmar, di mana mangsa yang diperdagangkan dipaksa untuk menipu orang lain dalam talian.

Thailand dan China, antara lain terjejas terutamanya disebabkan sempadan berkongsi mereka dengan Myanmar.

Nikorndej Balankura
Nikorndej Balankura.

Bercakap kepada FMT pada majlis yang sama, Balankura menyatakan Thailand mengalu-alukan sokongan China dalam meningkatkan keselamatan siber dan menangani jenayah rentas negara.

Beijing baru-baru ini menggesa Asean untuk membanteras lagi jenayah rentas negara terutamanya perjudian dalam talian, penipuan dan pemerdagangan manusia, selepas pemerdagangan berprofil tinggi seorang aktor China berhampiran sempadan Thai-Myanmar.

“Kita telah membincangkan jenayah rentas negara, termasuk keselamatan siber, penipuan siber dan isu rentas negara yang berkaitan,” katanya merujuk kepada siri mesyuarat Thailand yang diadakan pada Disember dengan Myanmar, China dan beberapa negara lain.

“Kita memerlukan bantuan daripada setiap negara terlibat dan kita percaya ini adalah perkara yang membimbangkan serantau.

“Fokus kita ketika menantikan kepengerusian Malaysia 2025, adalah untuk bekerja sangat rapat dengan Malaysia dan semua anggota Asean,” tambah Balankura, ‘untuk menangani cabaran bukan tradisional ini dan bekerjasama dalam memerangi pemerdagangan manusia, jenayah transnasional, pengedaran dadah, penipuan dalam talian, dan sebagainya.”

Respons serantau

Usaha Asean untuk menangani jenayah rentas negara telah meningkat, sebahagiannya disebabkan oleh krisis Myanmar dan sebahagian lagi disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi digital di rantau ini.

Lebih ramai yang muncul secara dalam talian, tetapi kemahiran digital atau perlindungan undang-undang yang mencukupi tidak semestinya memastikan mereka selamat.

Mesyuarat Menteri Digital Asean pada Januari menyaksikan blok itu menubuhkan Kumpulan Kerja Membanteras Penipuan Dalam Talian.

Kao Kim Hourn
Kao Kim Hourn

Setiausaha Agung Asean, Kao Kim Hourn, menambah kesatuan itu menggunakan beberapa cara menangani peningkatan kadar jenayah di rantau ini.

Menurutnya, antara pendekatan diambil termasuk dari segi politik dan diplomatik selain perbincangan menerusi forum Asean bagi memastikan masalah di Myanmar tidak beri kesan kepada rantau ini.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, pula menyatakan negara itu menghadapi cabaran yang sama.

Shikata Noriyuki
Shikata Noriyuki.

Malaysia dan Jepun adalah antara negara disasarkan untuk serangan siber.

“Ini adalah agenda bersama yang Jepun dan Malaysia boleh bekerjasama,” katanya kepada FMT.

“Kami telah menyokong pembinaan kapasiti keselamatan siber Asean melalui organisasi bantuan antarabangsa, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), untuk membantu negara Asean menghadapi serangan siber dan meningkatkan daya tahan terhadap serangan sedemikian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.