Konvensyen PBB bermula dengan bacaan doa 9 bahasa

Konvensyen PBB bermula dengan bacaan doa 9 bahasa

Suhaimi Mohamad baca doa dalam bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Iban, Melanau, Bisaya, Lun Bawang, Bidayuh dan Mandarin pada konvensyen sayap PBB, hari ini.

penyokong pbb parti pesaka bumiputera bersatu
Suhaimi Mohamad berkata dia mahu berkongsi kepelbagaian bahasa di Sarawak membaca doa dalam sembilan bahasa pada konvensyen sayap PBB hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang membacakan doa dalam sembilan bahasa mendapat pujian atas inisiatifnya meraikan kepelbagaian budaya di Sarawak.

Timbalan Ketua Pemuda PBB cawangan Bukit Kota Suhaimi Mohamad membaca doa pada majlis perasmian konvensyen semua sayap parti itu dalam bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Iban, Melanau, Bisaya, Lun Bawang, Bidayuh dan Mandarin.

Suhaimi berkata beliau berlatih hampir sebulan untuk memastikan bacaan doa dalam pelbagai bahasa itu berjalan sempurna, lapor Dayak Daily.

“Sukar untuk bercakap dalam Mandarin kerana sebutan dan ejaannya tidak sama…saya belajar dari rakan Cina dan peniaga,” katanya yang mengambil masa lima minit untuk selesai membacakan doa berkenaan.

Suhaimi turut memberitahu dia tiada masalah untuk membaca doa dalam bahasa Lun Bawang kerana sering berkomunikasi dengan komuniti terbabit.

Beliau turut berkongsi inisiatifnya sendiri itu diambil untuk berkongsi keunikan dan kepelbagaian bahasa serta kebudayaan di Sarawak.

“Saya tidak pernah membacakan doa dalam pelbagai bahasa dalam majlis seperti ini,” katanya yang turut mengambil inisiatif itu bagi memberi mesej Islam melangkaui etnik dan bahasa.

“Orang sering salah faham yang Islam hanya untuk orang Melayu.

“Tetapi sebenarnya muslim juga dari Cina, Iban dan etnik lain…mereka merasa dihargai apabila bahasa mereka dibaca dalam doa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.