
“Kita tidak mahu hanya kerajaan negeri yang sentiasa menyerang kerajaan persekutuan tanpa dipertanggungjawabkan atas pentadbiran sendiri,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Perpaduan Kedah di Sungai Petani hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Mahdzir Khalid, lapor Sinar Harian.
Katanya, konvensyen tersebut turut menghasilkan resolusi bagi menubuhkan sekretariat bersama, berperanan menyusun perancangan dan gerak kerja politik.
Antara resolusi lain termasuk menetapkan sasaran untuk mengambil kembali pentadbiran negeri pada pilihan raya akan dating.
Saifuddin berkata, kehadiran hampir 1,000 perwakilan dalam konvensyen itu merupakan satu permulaan baik.
Lebih banyak program bersama akan disusun selepas ini termasuk jelajah ke seluruh negeri dengan penglibatan sayap Pemuda dan Wanita, tambahnya.
Menurutnya, konvensyen tersebut membuktikan PH dan BN mempunyai banyak persamaan dalam meletakkan sasaran perjuangan untuk Kedah.
“Kedah menjadi negeri pertama dalam konteks kerajaan perpaduan yang menganjurkan konvensyen ini, mempertemukan gabungan terbesar di negeri ini,” katanya.