
Semalam, Syed Saddiq (Muda-Muar) dalam perbahasan di Dewan Rakyat mendakwa akta berkenaan dikhuatiri menjadi pengkhianatan terbesar kepada golongan susah di bandar kerana berisiko ‘diusir’ keluar.
Beliau turut menyifatkannya sebagai ‘akta rampas rumah’ disebabkan kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan daripada 100% kepada 80%.
Nga menjelaskan tiada unsur paksaan mahupun pengabaian dan ancaman hak golongan tertentu khususnya bagi kaum tertentu serta golongan berpendapatan rendah (B40) seperti didakwa.
Menurutnya, sebaliknya ia berpaksikan keadaan fizikal, infrastruktur dan pengurusan hartanah komuniti yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup ekonomi dan persekitaran yang tidak lagi selamat dan mendatangkan bahaya.
“Kenyataan (Muar) berniat jahat dan bertujuan memesong dewan yang mulia ini,
“Memang tak hormati segala pendapat dan jawapan diberikan ketua-ketua pengarah jabatan ketika taklimat diberikan.
“Kemudian masuk dewan menabur fitnah dan semata-mata ingin mencari publisiti murahan,” katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Beliau turut meminta Syed Saddiq untuk memperbetul sikap sedemikian dan tidak mengulangi kesilapan itu pada masa akan datang.
September lalu, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju menggubal akta pembaharuan semula bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Nga dipetik berkata akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.