
Menjawab kebimbangan dibangkitkan segelintir pihak, Anwar berkata tiada perkara dalam peruntukan di bawah akta terbabit boleh menyebabkan pemilik, tanpa mengira etnik, kehilangan pemilikan harta mereka.
Memberi contoh kawasan perumahan Seri Perlis di Bandar Tun Razak di sini, Anwar berkata susunan demografinya akan kekal tidak berubah.
“Jika sekarang 70% Melayu, ia akan kekal begitu kerana pemilik akan mempunyai hak penuh,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menjawab kebimbangan dibangkitkan Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) bahawa rang undang-undang itu, yang berkemungkinan dibentangkan pada Jun atau Julai, boleh menggantikan penduduk lama.
Anwar memberi jaminan bahawa rang undang-undang itu hanya akan memudahkan pembangunan semula bandar tanpa menjejaskan hak pemilikan.
“Saya memberi jaminan bahawa apa yang dibangkitkan Kuala Terengganu mengenai pemindahan pemilik asal tidak timbul sama sekali,” katanya.
Pembangkang sebelum ini mendakwa undang-undang dicadangkan itu adalah kaedah halus untuk menggantikan orang Melayu dan India yang miskin.
Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS juga berkata bahawa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional akan menentang rang undang-undang itu kerana ia boleh mengganggu keharmonian.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan rang undang-undang itu disasarkan kepada kaum tertentu.
Menurutnya, ia sebaliknya berpaksikan keadaan fizikal, infrastruktur dan pengurusan hartanah komuniti yang memberi kesan kepada kemerosotan kualiti hidup ekonomi dan persekitaran tidak lagi selamat dan mendatangkan bahaya.