
Sumber memberitahu FMT, nama ketua Pemuda Umno Tapah itu telah pun mendapat restu dari kepimpinan Barisan Nasional (BN) Perak dan pusat.
“Pengalaman dan kedudukan Fahmi dalam hierarki Pemuda Umno di Perak menjadikannya calon berpotensi untuk mewakili gabungan perpaduan pada PRK Ayer Kuning.
“Hubungannya yang rapat dengan masyarakat setempat, terutama di Tapah dan kawasan sekitar, mampu memberi kelebihan dalam memahami isu serta kebajikan pengundi di DUN Ayer Kuning,” katanya.
Sumber itu berkata penglibatan Fahmi dalam pelbagai program khususnya melibatkan Pemuda Umno di peringkat negeri memperlihatkan kemampuannya dalam memimpin dan membawa aspirasi golongan muda.
“Ini selaras dengan usaha parti untuk menarik sokongan pengundi muda dalam pilihan raya akan datang,” kata sumber itu.
Anak jati Tapah berusia 42 tahun itu membesar di Kampung Jawa, Ayer Kuning dan kini menetap di Taman Bunga Raya.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas exco yang juga Adun Ayer Kuning, Samsudin Abu Hassan.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mendedahkan sayap itu sudah mengenal pasti calon berpotensi untuk diketengahkan bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
Sehari sebelumnya, Ketua Amanah Perak Asmuni Awi berkata parti itu memberi laluan kepada BN meletakkan calon mewakili kerajaan perpaduan bertanding PRK Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, Sabtu lalu, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15 November 2022, ketua Umno Tapah berusia 59 tahun itu menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.