
Khaled berkata, semasa lawatan itu, beliau diberikan taklimat terperinci mengenai kapal itu dan operasinya oleh Komander Carrier Strike Group (CSG) Perancis Laksamana Muda Jacques Mallard.
“Kapal pengangkut pesawat itu adalah ‘center force’ bagi CSG Perancis dan daya Tentera Laut Perancis yang menggabungkan pelbagai sumber serta kekuatan di sekitarnya bagi membolehkan CDG menjalankan misi pelbagai,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkata, kapal CDG itu menempatkan antara lain pesawat pejuang Rafale dan pesawat Hawkeye serta diiringi kapal-kapal pendamping seperti ‘destroyers’ dan ‘supply ship’ yang baru menamatkan latihan bersama negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai negara.
“Ia juga antara usaha negara itu memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau ini, termasuklah dengan Malaysia,” katanya.
Turut sama dalam lawatan berkenaan, Panglima Tentera Jeneral Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Laut Laksamana Zulhelmy Ithnain. Turut hadir, Duta Perancis ke Malaysia Axel Cruau.
Sementara itu, Kedutaan Perancis di Malaysia dalam kenyataan memaklumkan empat pesawat tempur Tentera Laut Perancis ‘Rafale’ CSG bersama enam jet pejuang tentera udara menjalankan latihan tempur udara di perairan Pantai Timur, dekat Kuantan, hari ini.
Kedutaan itu memaklumkan, latihan itu meningkatkan kebolehoperasian dan mengukuhkan mekanisme serta proses kerjasama ketenteraan.
“Latihan peringkat tinggi ini, dan interaksi yang dilakukan dengan rakan-rakan serantau, khususnya Malaysia mencerminkan komitmen Perancis untuk menggunakan aset ketenteraan dari tanah besar Perancis bagi menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, mempertahankan kedaulatan dan melindungi akses bebas dan terbuka kepada umum,” katanya.
Kedutaan itu menegaskan, Malaysia dan Perancis ialah rakan pertahanan lama, dan Perancis sangat menghargai kerjasama pertahanan dengan negara ini, yang diperkukuh menerusi pertemuan peringkat tinggi.