Batal hantar peluru berpandu LCS, Khaled akan jumpa rakan sejawat Norway

Batal hantar peluru berpandu LCS, Khaled akan jumpa rakan sejawat Norway

Menteri pertahanan berkata Malaysia sudah tandatangan perjanjian bagi beli peluru itu sejak 2018.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata peluru berpandu tersebut dibeli bagi melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin akan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan ‘memeranjatkan’ kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.

Katanya, pertemuan itu juga akan digunakan untuk menzahirkan kekesalan kerajaan Malaysia terhadap tindakan Norway membatalkan penghantaran aset tersebut, beberapa hari sebelum tarikh yang dijadualkan pada Mac lalu.

“Ia sangat malang apabila kita telah menandatangani kontrak pembelian peluru berpandu daripada Norway sejak 2018. Sepatutnya Mac lepas peluru berpandu itu dihantar bagi melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS) kita serta KD Lekiu dan KD Jebat.

“…tetapi beberapa hari sebelum tarikh penghantaran, tanpa ada ‘ribut dan taufan’, kerajaan Norway beritahu mereka tidak akan memberikan lesen memasarkan produk itu setelah lapan tahun kita beli. Tentulah ia memeranjatkan kita, tentulah ia menjejaskan kita,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ekonomi Madani Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Kluang.

Khaled berkata, tindakan itu tidak mencerminkan hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia kini sedang menggunakan saluran diplomatik di pelbagai peringkat termasuk hubungan antara perdana menteri dan menteri luar kedua-dua negara bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Oleh kerana perkara ini masih diuruskan melalui diplomasi, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut buat masa ini,” katanya.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara tentera laut dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.