Program Imarah Ramadan PTPTN perkukuh hubungan dengan warga IPT

Program Imarah Ramadan PTPTN perkukuh hubungan dengan warga IPT

Program bukan sekadar mampu bantu pelajar dan komuniti memerlukan, juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan.

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim dan kakitangan pengurusannya bersama pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, yang terlibat dengan program Imran PTPTN.
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisinya berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (Imran) 2025.

Pengerusinya, Norliza Abdul Rahim berkata, program yang telah masuk tahun kelima pelaksanaan itu bukan sekadar mampu membantu pelajar dan komuniti yang memerlukan, malah ia mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan melalui kerjasama yang erat.

Menerusi program itu, katanya, warga PTPTN, para pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan akan bergotong-royong menyediakan bubur lambuk, bubur manis atau makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat.

“Dianggarkan lebih 10,000 masyarakat serta pelajar akan menerima juadah berbuka puasa yang akan diagihkan tahun ini.

“Diharapkan sumbangan PTPTN ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu di Menara PTPTN, Norliza merasmikan Imran 2025 yang akan berlangsung dari 5 Mac hingga 20 Mac, di 15 buah universiti awam, politeknik, kolej komuniti sert sekolah terpilih di seluruh negara.

Dalam pada itu, Norliza berharap, kerjasama sebegini dapat diteruskan dan diperluas agar lebih ramai pelajar serta masyarakat mendapat manfaat.

“Sebagai institusi yang komited terhadap kelestarian pendidikan negara, PTPTN akan terus memperkasakan Imran sebagai medium kebajikan dan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memberi impak positif kepada semua pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.