
Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata laporan diterima daripada bapa remaja itu pada 8.53 pagi yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri dalam asrama sekolah.
Jelasnya, pihak sekolah kemudian membawa mangsa berusia 13 tahun itu ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tetapi, menurutnya, pegawai perubatan di klinik itu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Susulan itu, bedah siasat dijalankan pada 3.30 petang di Hospital Gua Musang,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kematian akibat pendarahan spontan di bahagian kepala serta paru-paru berair.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dan mayat pelajar diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.