1,215 orang Rohingya ditahan dari 2020 hingga Jan 2025

1,215 orang Rohingya ditahan dari 2020 hingga Jan 2025

Terdapat lapan pendaratan berlaku iaitu enam di Pulau Langkawi dan masing-masing satu di Kuala Kedah dan Pulau Pinang, menurut APMM.

apmm
APMM aktifkan operasi bersepadu bersama tentera laut, imigresen, dan polis untuk tangani pencerobohan Pati melalui perairan Langkawi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 1,215 orang etnik Rohingya Myanmar ditahan dari tahun 2020 sehingga 15 Jan 2025, menurut menteri dalam negeri.

Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada jumlah tersebut, terdapat lapan pendaratan berlaku iaitu enam di Langkawi, dan masing-masing satu di Kuala Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau memetik statistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), yang minta KDN perinci jumlah orang Rohingya yang menceroboh Langkawi sejak 2021 dan langkah membendung perkara itu.

Bagi mengatasi pencerobohan dan perdagangan manusia yang menjadikan Langkawi sebagai destinasi, Saifuddin berkata Op Guard 4.0 diaktifkan untuk meningkatkan kekerapan rondaan laut dan udara di kawasan ‘hot spot’.

“Operasi bersepadu ini merupakan inisiatif APMM untuk menangani pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) khususnya etnik Rohingya Myanmar ke Malaysia yang cuba memasuki Malaysia melalui perairan Langkawi,” katanya.

Antara agensi terlibat adalah tentera laut, imigresen dan polis.

Sementara itu, KDN juga menjalankan kerjasama serantau dengan Thailand berkenaan pengesanan bot Pati melalui hubungan kerjasama sedia ada.

“Operasi rutin harian dilaksanakan secara berterusan oleh APMM di kawasan perairan Kedah dan Perlis menerusi pelaksanaan OP Aman,” katanya.

“Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh APMM daripada 2020 sehingga Januari 2025, sebanyak 27,055 pemeriksaan dan 881 tangkapan telah dilaksanakan di bawah Op Aman.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.