Lori simen terkait 7 maut, syarikat didakwa bawa muatan lebih

Lori simen terkait 7 maut, syarikat didakwa bawa muatan lebih

Lori mengakibatkan kejadian nahas maut di Alor Gajah pada 23 Dis lalu bawa muatan 16 tan berlebihan serbuk simen.

Pengurus Operasi Yinson Transport
Pengurus Operasi Yinson Transport (M) Sdn Bhd, Ng Chee Keong, mengaku tidak bersalah langgar syarat lesen dengan bawa muatan serbuk simen 68,260kg, berbanding had dibenar 52,000kg. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat logistik terkait nahas tujuh maut pada 23 Dis lalu dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Orang kena saman (OKS), Yinson Transport (M) Sdn Bhd, diwakili pengurus operasi, Ng Chee Keong, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa telah melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260kg, iaitu lebihan 16,260kg daripada had dibenarkan 52,000kg.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira 8.30 malam di KM204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dalam daerah Alor Gajah, pada 23 Dis 2024.

Sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda minimum RM1,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kenderaan tersebut dilucutkan hak berdasarkan Seksyen 80(4) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan waran tangkap dikeluarkan sekiranya OKS gagal hadir ke mahkamah, lapor Utusan Malaysia.

OKS diwakili peguam, Chew Jee San.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 8 April depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pendakwaan.

Sebelum ini, dilaporkan nahas maut membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Simpang Ampat di sini berpunca daripada tayar lori tercabut.

Tragedi tersebut mengorbankan pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dan seorang penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Turut maut lima sekeluarga menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima iaitu iaitu Khairul Izwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, dan Fauziah Jaafar, 69.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.