
Ketua Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tidak boleh beroperasi tanpa sokongan syarikat minyak negara itu kerana sukar berdikari disebabkan kekurangan kapasiti dan tenaga pakar.

“Jika hak minyak dan gas Sarawak diberikan terus kepada Petros yang mungkin tidak mahu bekerjasama dengan Petronas, mereka tetap perlu mencari rakan kongsi untuk melaksanakan kerja itu.
“Petros tidak mempunyai kapasiti dan kepakaran mencukupi untuk menguruskan operasi sendiri. Jika masih perlu bergantung kepada pihak ketiga, mengapa tidak terus bekerjasama dengan Petronas,” katanya kepada FMT.
Jaziri yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu turut mengingatkan kerajaan Sarawak supaya tidak ‘memperkecilkan’ peranan Petronas dalam pembangunan negara.
Beliau merujuk sumbangan Petronas dalam sektor O&G global serta bayaran kewangan sebanyak RM1.5 trilion dalam bentuk dividen, cukai jualan negeri, bayaran tunai, duti eksport dan dana kepada tabung negara.
“Petros tidak seharusnya dilihat cuba membayangi peranan Petronas.
“Petronas masih memainkan peranan besar di Sarawak. Model terbaik ialah Petros bekerjasama dengan Petronas,” katanya.
Sebelum ini, Premier Abang Johari Openg mengumumkan Petros dan Petronas akan bekerjasama untuk kepentingan negeri dan negara, namun menegaskan hak Sarawak tetap menjadi keutamaan.
Mengulas keadaan itu, Jaziri menekankan kepentingan keseimbangan antara hak negeri dan peranan dalam pembangunan negara secara menyeluruh.
“Mentaliti rakyat Sarawak sering mengatakan ‘kita telah lama dipinggirkan. Kini tiba masa untuk menuntut wang kita’. Tetapi ini hanya naratif mudah.”
“Sarawak tidak boleh berdikari sepenuhnya. Kita masih kekurangan tenaga pakar. Dasar imigresen negeri lebih ketat berbanding kerajaan persekutuan,” katanya.
Pampasan tak cukup?
Isu peranan Petros sebagai agregator gas berpunca daripada ketidakpuasan hati Sarawak terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang memberikan Petronas hak pemilikan penuh ke atas semua sumber hidrokarbon di Malaysia.
Sarawak berpendapat Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) memberikan negeri itu hak untuk memiliki sumber O&G sendiri, sama ada menggantikan atau sekurang-kurangnya dibaca seiring dengan PDA.
Selain itu, ada dakwaan bahawa Petronas tidak memberi pampasan mencukupi kepada Sarawak, malah syarikat itu dipersalahkan atas kelewatan pembangunan negeri.
Mengulas pertikaian itu, seorang peguam kanan mempersoalkan naratif tersebut.
“Di bawah model perkongsian pengeluaran PDA, negara memiliki semua minyak, manakala kontraktor hanya dibayar dalam bentuk hasil kerja, bukan pemilikan minyak itu sendiri.
“Model OMO adalah berasaskan konsesi, di mana pemilik konsesi memiliki sepenuhnya minyak tersebut tetapi perlu membayar peratusan tertentu sebagai royalti (contohnya 12%),” katanya.
Menurutnya, sebelum PDA diperkenalkan, minyak di Sarawak bukan milik negeri itu tetapi dimiliki syarikat asing seperti Shell. Apabila PDA dikuatkuasakan, mereka terpaksa berunding untuk mengeluarkan Shell.
“(Model PDA) lebih adil. Pulangan kepada negara adalah besar, berbanding sebaliknya.
“Jika hujahnya adalah Sarawak tidak mendapat nilai sebenar daripada sumber mineralnya, isunya berkaitan angka,” katanya sambil menambah pertikaian itu boleh diselesaikan melalui rundingan.
“Di bawah PDA — melalui perjanjian dan persetujuan perundangan — semua minyak diserahkan kepada Petronas. Sarawak telah menandatangani instrumen penyerahan tersebut. Itulah yang dinyatakan dalam PDA.”
Beliau juga berkata, ‘terlalu mudah’ untuk mengaitkan kelewatan pembangunan Sarawak dengan dakwaan bahawa negeri itu menerima pampasan tidak mencukupi daripada Petronas.
Menurut peguam itu, Sarawak juga berdepan isu ketelusan, salah urus kewangan dan rasuah.
Pada 28 Feb, Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, menuntut Abang Johari menjelaskan bagaimana dana O&G yang diterima kerajaan Sarawak dibelanjakan.
“Adakah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar menerima RM49 bilion? Jika ya, ke manakah wang itu digunakan?” soalnya.

Jumlah terbabit adalah bayaran daripada Petronas kepada Sarawak, yang mewakili separuh daripada RM96.2 bilion pampasan diterima negeri itu sehingga 2024, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar turut mendedahkan, Sarawak menerima RM18.66 bilion dalam bentuk cukai jualan dan RM28.6 bilion dividen pemegang saham daripada Malaysia LNG, syarikat gas asli cecair yang sebahagiannya dimiliki negeri itu.
Sarawak turut memperoleh pendapatan daripada RM280 bilion pelaburan Petronas dalam infrastruktur huluan O&G di negeri itu, selain dana pembangunan kerajaan persekutuan melalui pelbagai Rancangan Malaysia.