Mangsa banjir Beaufort, Membakut terima bantuan RM1,300

Mangsa banjir Beaufort, Membakut terima bantuan RM1,300

Jumlah itu diperuntukkan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Yayasan Kebajikan Sabah.

hajiji noor sumbangan banjir
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Beaufort dan Membakut selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir hari ini. (Gambar Pejabat Ketua Menteri Sabah)
BEAUFORT:
Setiap keluarga mangsa banjir di Beaufort dan Membakut menerima bantuan tunai kecemasan berjumlah RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM1,000 diperuntukkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala RM300 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

“Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan,” katanya dalam kenyataan selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini, yang menempatkan 412 mangsa terdiri daripada 147 keluarga.

Ketua menteri juga melawat PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut yang kini menempatkan 836 mangsa daripada 278 keluarga untuk memberikan bantuan sama kepada mangsa banjir.

Turut hadir mengiringi Hajiji ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di 29 PPS di Sabah kekal tidak berubah dengan 4,530 orang daripada 1,488 keluarga setakat tengah hari ini melibatkan empat daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN) berkata jumlah mangsa banjir tertinggi adalah di Beaufort, dengan tujuh PPS menempatkan 1,719 orang daripada 556 keluarga, manakala di Membakut, 914 orang daripada 312 keluarga berada di lima PPS.

Hajiji berkata beliau ke kawasan terjejas untuk bertemu dengan mangsa serta melihat sendiri keadaan di sana, dengan beliau memberi jaminan kepada mangsa banjir yang kerajaan memahami kesulitan dialami mereka.

Ketua menteri juga melawat sekitar pekan Beaufort yang masih dilanda banjir dan diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun.

Semasa lawatannya, Hajiji telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan semua saluran air, khususnya longkang, bagi mengurangkan banjir pada musim hujan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.