
Tanpa banyak pengetahuan tentang penyakit itu serta peluang untuk sembuh, dia terpengaruh dengan stigma masyarakat dan beranggapan kehidupannya bakal berakhir.
Rasa kecewa yang mendalam pernah mendorongnya untuk menamatkan riwayat sendiri. Namun, dia akhirnya tersedar bahawa tindakannya hanya akan menyakiti insan tersayang.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Sokongan Aids Kuala Lumpur (KLASS) itu mengakui bahawa selama setahun, dia menyembunyikan penyakitnya daripada keluarga. Akhirnya, apabila daya tahan badannya semakin merosot, dia menyerah diri untuk mendapatkan bantuan.
Menurut Andrew, pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menunjukkan bahawa sel CD4 dalam tubuhnya hanya berada pada kadar 149 – di bawah paras 200 – menandakan bahawa dia telah memasuki fasa Aids.
“Saat disahkan menghidap Aids, saya rasa seolah-olah maut semakin dekat,” katanya. Namun, setelah diyakinkan oleh doktor, dia memutuskan untuk memulakan rawatan.
Asingkan diri
Andrew masih ingat detik pertama menerima ubat HIV yang baru dibawa masuk ke Malaysia pada ketika itu – berharga RM2,000 sebulan. Sepanjang rawatan, dia mengasingkan diri kerana takut dengan stigma masyarakat terhadap penghidap HIV/AIDS.
“Saya juga ‘menghilangkan diri’ untuk fokus kepada rawatan.
“Tetapi doktor gembira melihat perkembangan saya. CD4 saya kembali normal seperti orang lain. Lalu, beliau mencadangkan supaya saya membantu mereka yang senasib,” katanya kepada FMT.

Sejak 2002, Andrew menjadi aktivis dan anggota KLASS yang giat turun padang ke kawasan berisiko tinggi seperti lorong gelap di Chow Kit.
Dia bukan sahaja memberi kaunseling tetapi turut membantu pekerja kesihatan komuniti (PKK) menjalankan ujian saringan HIV bagi mereka yang berisiko tinggi, termasuk individu mengamalkan seks bebas atau sering bertukar pasangan tanpa perlindungan.
Malah, kesedaran bahaya jangkitan HIV juga diberikan kepada golongan pelajar.
“Kami mahu mereka tahu bagaimana mengelakkan jangkitan serta menguruskan diri jika dijangkiti. Dahulu, waktu saya didiagnosis, tiada sokongan seperti ini.
“Bagi yang telah disahkan positif HIV dan disahkan menghidap Aids, kami galakkan mereka terus makan ubat untuk sembuh dan putuskan rantaian jangkitan,” ujarnya.
Enggan sia-siakan ‘bonus hidup’
Sehingga tahun lalu, lebih 5,000 individu telah mendapatkan saringan di pejabat KLASS di Sentul. Mereka yang negatif dinasihatkan untuk terus melindungi diri dengan penggunaan kondom atau ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis).
Kini, pada usia 65 tahun, Andrew tetap teguh dengan misinya. Baginya, kehidupan ini adalah ‘bonus’ yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu masyarakat.
“Saya telah diberi peluang hidup lebih 31 tahun selepas dijangkiti. Saya tidak akan mensia-siakannya.
“Selagi masih berdaya saya akan terus berjuang untuk memutuskan rantaian jangkitan HIV dan Aids demi kesejahteraan masyarakat,” katanya penuh tekad.