Pelaburan institusi merosot isyarat bahaya bagi Cahya Mata Sarawak

Pelaburan institusi merosot isyarat bahaya bagi Cahya Mata Sarawak

Pemegang saham minoriti berkata, lembaga pengarah harus tangani puncanya agar trend itu dapat diterbalikkan.

Norges Bank Investment Management signboard
Norges Bank, yang menguruskan GPFG, semakin mengurangkan pelaburannya dalam Cahya Mata Sarawak. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Trend pelabur institusi utama mengurangkan pegangan saham mereka dalam Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) ialah masalah yang perlu diselesaikan segera, kata pemegang saham minoriti.

Antara dana institusi yang telah mengurangkan pegangan mereka dalam konglomerat Sarawak itu termasuk Dana Global Pencen Kerajaan Norway (GPFG), salah satu dana terbesar di dunia, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia.

Pelaburan GPFG dalam CMSB adalah melalui bank pusat Norway, Norges Bank, yang pertama kali muncul sebagai pemegang saham besar selepas memperoleh 5.03% kepentingan, atau 50.05 juta saham, pada September 2023.

GPFG, yang ditubuhkan pada 1990 selepas Norway menemukan minyak di Laut Utara, diuruskan oleh Norges Bank.

Memetik laman web bank itu, CMSB menyatakan, pelaburan Norges Bank bagi pihak GPFG mempunyai nilai bersamaan dengan USD1.42 trilion (RM6.29 trilion) setakat 30 Jun 2023, menjadikannya pelabur tunggal terbesar dalam pasaran saham dunia.

Pada Januari 2024, CMSB mengumumkan dalam pemfailan bursa, Norges Bank bukan lagi pemegang saham besar, menyebabkan harga saham syarikat itu merudum.

Menurut pemfailan itu, setakat 6 Dis 2023, Norges Bank memegang kepentingan 4.98%, merosot bawah ambang 5% untuk pemegang saham besar.

Semakan dengan laman web Norges Bank baru-baru ini mendedahkan kepentingan dana itu dalam CMSB merosot lagi kepada 3.86% setakat 31 Dis 2024, dengan pelaburan bernilai USD11.14 juta (RM49.37 juta).

KWSP juga mengurangkan ekuitinya secara berterusan dalam CMSB sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2018, KWSP mempunyai 10.69% pegangan tetapi menjelang September 2021 tidak lagi menjadi pemegang saham besar apabila pegangannya jatuh bawah 5%. Pegangannya kemudiannya dikurangkan lagi kepada 3.61% setakat Mac 2024.

Menurut laporan tahunan terbaru CMSB (2023), KWSP dan Norges Bank merupakan pemegang saham keenam dan ketujuh terbesarnya.

Sekumpulan pemegang saham minoriti mahukan jawapan daripada lembaga pengarah mengapa dana-dana institusi utama ini mengurangkan pegangan dalam CMSB.

“Apabila dana institusi besar mula mengurangkan pegangan dalam syarikat, ia selalunya isyarat bahaya dan petunjuk bahawa keyakinan pengurus dana telah goyah,” kata mereka kepada FMT.

Mereka berkata, lembaga pengarah harus mengenal pasti sebab perkara itu terjadi dan menangani isu asas supaya trend itu boleh diterbalikkan.

Penyahlaburan usaha akhir

Walaupun pengurus dana institusi mungkin tidak menyatakan mengapa mereka mengurangkan pegangan, terdapat beberapa sebab yang jelas.

Seorang pengurus dana berkata, selain prestasi kewangan yang lemah, gabungan isu tadbir urus, pertelingkahan dalam kalangan lembaga pengarah, pengurusan yang lemah dan kes mahkamah boleh menjejaskan keyakinan pelabur institusi.

CMSB banyak terpalit dengan kontroversi yang mungkin menjejaskan keyakinan pelabur dalam tempoh beberapa tahun ini.

Pada zaman di mana keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menguasai, masalah dihadapi CMSB mungkin menjadi kebimbangan bagi dana institusi yang besar, kata pengurus dana yang enggan dikenali itu.

Di laman webnya, Norges Bank menyatakan dengan jelas apa yang diharapkannya daripada 11,000 pelaburan bernilai USD1.74 trilion yang dibuatnya secara global bagi pihak GPFG.

“Kami nyatakan jangkaan yang jelas terhadap syarikat dan pasaran ini. Syarikat mesti diuruskan dengan betul, dan hak kami sebagai pemegang saham mesti dilindungi,” katanya, menjelaskan dasar ‘pelaburan bertanggungjawab’ diamalkannya.

“Kami mungkin menyahlabur daripada sesebuah syarikat jika kami menilai pasaran jangka panjangnya mungkin terjejas akibat salah urus isu sosial dan alam sekitar,” tambahnya.

Bank itu berkata, penyahlaburan merupakan ‘usaha akhir’ dan ia sentiasa cuba mengemudi syarikat ke arah yang mampan dan menguntungkan melalui pemilikan aktif, iaitu dialog dan pengundian.

“Jika segala usaha ini membawa sebarang kemajuan, kami kemudiannya boleh membuat keputusan untuk menyahlabur,” kata Norges Bank, sambil menambah Ian telah menyahlabur daripada 49 syarikat pada 2024.

Isyarat bahaya

Beberapa pemegang saham minoriti sebelum ini memetik pelbagai isu kewangan dan perundangan yang membelenggu projek loji fosfat di Samalaju diusahakan oleh anak syarikat CMSB, Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd (CMPI).

Kebimbangan utama ialah pertikaian berterusan berhubung perjanjian pembelian kuasa (PPA) antara CMPI dengan syarikat utiliti negeri, Syarikat Sesco Bhd (Sesco) yang ditandatangani pada 2019.

CMPI sejak itu menghadapi tuntutan balas RM342.25 juta oleh Sesco berhubung caj elektrik. Sesco juga memotong bekalan kuasa ke loji itu pada Julai 2023, menangguhkan operasi komersialnya.

Pemegang saham minoriti mendakwa, bahagian fosfat bawah CMPI merupakan ‘lohong hitam kewangan’ untuk kumpulan itu. Bahagian itu mengalami kerugian kumulatif sebelum cukai (LBT) sebanyak RM253.5 juta bagi tahun kewangan 2023-2024.

Pemegang saham minoriti turut mempersoalkan mengapa kumpulan itu tidak melantik ketua audit dalaman baharu selepas penyandangnya mengosongkan jawatan itu pada 2022, hampir tiga tahun lepas.

Mereka berhujah, juruaudit dalaman memainkan peranan penting dengan menilai risiko, memastikan pematuhan dan menggalakkan tingkah laku beretika dalam organisasi.

Lembaga pengarah tidak sehaluan?

Beberapa tindakan undang-undang yang melibatkan kumpulan itu menimbulkan persepsi lembaga pengarahnya tidak sehaluan.

Awal bulan ini, CMSB memulakan tindakan undang-undang terhadap timbalan pengerusinya Mahmud Abu Bekir Taib dan enam individu lain, di tengah-tengah dakwaan wujudnya perebutan kuasa dalam kalangan lembaga pengarah.

Dalam tuntutan mahkamah itu, syarikat mendakwa, dalam pelaksanaan projek bawah transformasi digital CMSB, pelbagai syarat telah dilanggar.

“Saya yakin dapat membatalkan tuntutan remeh ini dan (saya) semakin berani dalam misi saya untuk membetulkan keadaan di Cahya Mata Sarawak,” kata Mahmud kepada FMT Business.

Tindakan undang-undang itu menyusuli afidavit difailkan oleh pengarah urusan kumpulan Sulaiman Abdul Rahman Taib untuk menentang prosiding awal dimulakan oleh abangnya, Mahmud, yang memohon akses kepada rekod perakaunan dan dokumen lain CMSB, serta lima anak syarikat milik penuhnya.

Mahmud, 61, dan Sulaiman, 55, ialah anak kepada Abdul Taib Mahmud, bekas ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Saham CMSB juga berada pada trajektori menurun, dan sehingga kini pada tahun ini telah jatuh 21% kepada 93 sen pada Khamis, meletakkan nilai kumpulan itu pada RM999.6 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.