
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata keputusan itu dibuat berikutan rasa terhutang budi dan khidmat terhadap anggota parti, pasukan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat Nibong Tebal yang telah bekerja keras selama ini hingga membolehkan beliau dihantar ke Parlimen.
“Saya dan rakan-rakan mempertaruhkan seluruh jiwa, tenaga dan pasukan kami dengan kekuatan kemajmukan dan semangat keluarga besar PKR.
“Kita harus merangkul setiap kekuatan yang ada, menerajui iltizam memperkukuh parti dalam kepelbagaian menerusi bingkai kesatuan,” katanya di Facebook.
Fadhlina bertekad untuk memimpin serta navigasi cabang PKR yang telah menghimpun kekuatan anggota parti yang komited sepanjang ia ditubuhkan, justeru beliau memohon mandat anggota Cabang Nibong Tebal untuk memberi peluang kepadanya memimpin cabang itu sebagai calon ketua cabang yang baharu.
Pada masa sama ketua Wanita PKR itu merakamkan penghargaan kepada bekas ketua PKR Nibong Tebal Dr Amar Pritpal Abdullah, yang telah bersama-samanya membuat keputusan terbabit serta memaklumkan individu itu kekal dipilih sebagai calon timbalan.
Fadhlina yang juga menteri pendidikan turut menyatakan penghargaan kepada buat anggota parti Cabang Nibong Tebal yang telah bersama mendukung agenda memperkukuhkan parti, “otai” reformis dan juga sayap wanita cabang yang selama ini memberi kekuatan hingga membolehkan beliau berada pada kedudukan hari ini.
Pada 26 Jan, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat bahagian, Wanita dan Pemuda ditetapkan pada 11 hingga 20 April ini.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita dan Pemuda parti bagi sesi 2025-2028 pula, akan dilaksanakan pada 24 Mei depan.
Fadhlina sebelum ini turut memaklumkan mempertahankan jawatan disandangnya ketika ini dalam pemilihan parti akan datang.