Buli: 7 pelajar MRSM disyor tamat pengajian

Buli: 7 pelajar MRSM disyor tamat pengajian

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada kompromi dan tempat untuk pembuli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara.

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam kejadian tahun lalu.
PETALING JAYA:
Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) didapati terbabit buli termasuk bersubahat dengan perbuatan itu disyor ditamatkan pengajian.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan kes itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Disiplin Maktab.

Beliau menegaskan berpegang kepada prinsip tiada kompromi dan tempat untuk pembuli serta apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara (Ipma) termasuk MRSM.

“(Daripada) tujuh pelajar didapati terlibat, dua terlibat buli fizikal, lima subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM.

“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS), Jay January Siowou, berkata satu kertas siasatan dibuka berhubung klip video insiden buli di sebuah bilik dipercayai asrama yang tular di media sosial.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan proaktif dengan mengesan lokasi institusi itu dan semua individu terbabit dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.

Semalam, tular satu klip video satu minit 32 saat menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap atas katil, selain turut disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

Susulan itu, polis mengesahkan video tular itu ialah kejadian buli membabitkan beberapa pelajar di sebuah MRSM di SPS, Pulau Pinang, pada pertengahan tahun lalu.

Sementara itu, Asyraf mengulangi pendirian sebagai pengerusi Mara beliau tidak bersetuju memberikan peluang kedua kepada pembuli.

“Sejak dari awal saya diamanahkan sebagai pengerusi Mara, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya ‘You Touch You Go’.

“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.