
Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin semalam berhubung kerjasama dengan PH yang dilihat seiring kerajaan perpaduan di persekutuan.
Namun, beliau berpendapat kerjasama itu tidak seharusnya membabitkan perselisihan dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan termasuk GRS.
“Pada pandangan kami, BN perlu menjernihkan hubungan dengan GRS kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika pilihan raya berlangsung.
“BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan Sabah dalam usaha kita membangunkan semula negeri ini.
“Pada masa sama ia tidak menghalang BN untuk menjadi semak dan imbang di dalam kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Bung mengumumkan parti itu akan bekerjasama dengan PH yang kini menjadi sebahagian kerajaan Sabah diketuai GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, Bung sebelum ini menegaskan BN dan Umno tidak akan bekerjasama dengan GRS.
Pada Disember lalu, Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata beliau telah menyatakan hasrat mengekalkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN.