
Mohamad atau dikenali Mat Sabu berkata Francis yang meninggal dunia pada Isnin, tetap teguh menyokong rakyat Palestin ketika ramai pemimpin Arab berdiam diri.
“Lebih daripada sekadar kata-kata, Pope Francis meniupkan semangat ke dalam jiwa penganut Katolik di Eropah dan seluruh dunia untuk bangkit menentang ketidakadilan.
“Beliau membuktikan bahawa menentang kekejaman regim Zionis bukan semata-mata isu politik atau agama, tetapi adalah perjuangan kemanusiaan yang melangkaui batas sempadan dan kepercayaan,” katanya di Facebook.
“Alangkah eloknya jika pemimpin dunia Arab mampu berkaca pada keberanian Pope Francis.”
Dalam kenyataan berasingan, beliau turut memuji komitmen mendiang ketua gereja Katolik itu terhadap keamanan serta kecamannya terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Gaza.
“Pemimpin agama tidak sepatutnya menjadi alas kaki kepada kerajaan yang telah hilang nilai kemanusiaan,” katanya kepada FMT ketika ditemui di St John’s Cathedral di sini.
Mohamad adalah sebahagian delegasi diketuai oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), sebuah kumpulan pro-Palestin, yang hadir memberi penghormatan kepada Francis.
Mohamad yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, pemergian Francis, yang terkenal dengan sifat rendah diri dan keadilan yang mendalam disifatkan satu kehilangan besar bukan sahaja untuk penganut Katolik, tetapi juga masyarakat seluruh dunia.
Jurucakap SSP, Tian Chua turut menyuarakan pandangan yang sama, sambil memuji dedikasi Francis terhadap keadilan sosial, khususnya sokongan terbukanya terhadap Palestin.
“Beliau tidak sekadar mengecam keganasan dan menyuarakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin, malah terus berhubung secara tetap dengan gereja-gereja yang diserang di Gaza.
“Malah beliau mendedikasikan nafas terakhirnya kepada mereka, sesuatu yang amat menyentuh hati,” kata bekas Ahli Parlimen Batu itu.
Tian Chua berkata beliau kecewa kerana media tempatan jarang melaporkan kenyataan Francis, termasuk khutbah Paskahnya yang disampaikan beberapa jam sebelum beliau meninggal dunia, di mana beliau sekali lagi menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza.
Dalam mesej Paskah tersebut, Francis menyifatkan situasi di Gaza sebagai ‘amat menyedihkan dan tidak berperikemanusiaan’.
Pada Januari lalu, Francis meningkatkan kritikan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza, dan menyifatkan keadaan kemanusiaan di wilayah Palestin itu sebagai ‘sangat serius dan memalukan.
Francis meninggal dunia pada 21 April akibat strok dan kegagalan jantung, beberapa jam selepas menyampaikan ucapan Paskah dari balkoni Basilika St Peter.