PM tegaskan tiada layanan 2 darjat siasatan silap papar Jalur Gemilang

PM tegaskan tiada layanan 2 darjat siasatan silap papar Jalur Gemilang

Anwar Ibrahim mahu semua peka penerbitan membabitkan simbol dan maruah negara.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim berkaa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) harus disusuli tanggungjawab untuk mengelakkan insiden kesilapan pemaparan Jalur Gemilang berulang.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada layanan darjat berhubung siasatan terhadap kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap termasuk oleh agensi kerajaan.

Terbaharu, Kementerian Pendidikan (KPM) terpalit dengan isu terbabit susulan pemaparan Jalur Gemilang dalam laporan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diedarkan hari ini.

Minggu lalu, akhbar Sin Chew Daily dikecam selepas menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang turut dilakukan sebuah syarikat luar negara yang menyertai pameran di Kuala Lumpur.

“Perdana menteri tegaskan tiada layanan dua darjat tidak kisah media tempatan atau agensi kerajaan, prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara harus ditegakkan tanpa pengecualian.

“Semua pihak harus peka dengan penerbitan membabitkan simbol dan maruah negara,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian pejabat perdana menteri (PMO).

Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata Anwar menyambut  penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) namun ia harus disusuli dengan tanggungjawab untuk mengelakkan insiden sama berulang.

“AI tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia.

“Setiap bahan melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan yang teliti, dengan semangat hormat dan
tanggungjawab bersama,” katanya.

“AI ialah alat yang hebat, tetapi jika digunakan
secara cuai, ia boleh mengundang implikasi yang besar terhadap
keharmonian negara.”

Dalam laporan analisis keputusan SPM dikeluarkan KPM, terkandung gambar pelajar dalam kelas dengan Jalur Gemilang tergantung di dinding yang memaparkan dua bintang, bukan satu.

Selain itu, bendera itu hanya mempunyai lapan jalur merah dan putih, bukan 14 seperti sepatutnya.

KPM telah memohon maaf dan memulakan siasatan terperinci selain sedang melakukan pembetulan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.