
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pertembungan antara PN dengan parti-parti lain berkisar tentang siapa lebih Melayu dan Islam, walaupun PN menguar-uarkan ia terbuka bekerjasama dengan parti-parti yang mengamalkan kesederhanaan.
“Adakah PN mengamalkan politik kesederhanaan dalam politik pilihan raya? Jawapan saya tidak… kalau PN amalkan kesederhanaan, bagaimana ‘pertempuran’ akan berlaku?” katanya kepada FMT.
Lau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, bahawa PN terbuka bekerjasama dengan parti mengamalkan kesederhanaan bagi membentuk kerajaan pada PRU16.
Saifuddin turut yakin PN mampu mengekalkan 74 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15.
Lau bagaimanapun percaya PN akan kehilangan ‘undi konservatif’ apabila ia mengamalkan kesederhanaan.
“Bukan sahaja akan hilang undi konservatif, pada masa sama tak boleh dapat undi kesederhanaan,” katanya.
Dalam pada itu, Lau berkata kerjasama yang paling mungkin membuahkan hasil adalah bersama dengan parti-parti yang membentuk kerajaan hari ini.
“Parti yang berkeupayaan untuk menang kerusi atau keupayaan menyumbang parti adalah parti yang ada kerusi di Parlimen sekarang,” katanya.
Lau bagaimanapun tidak nampak ada kemungkinan Bersatu akan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala PN masih perlukan sokongan Sabah dan Sarawak untuk bentuk kerajaan.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan, berkata Bersatu dan PAS kelihatan sedang terkial-kial menghadapi PRU16 lantaran kenyataan Saifuddin itu.
“Ungkapan kesederhanaan itu seolah nak menunjukkan kerjasama dengan PAS tak menjadi dan Bersatu faham dia nak kerjasama dengan Umno pun tak boleh,” katanya.
Beliau menyarankan Bersatu membentuk kerjasama di luar PN, kerana “parti yang sederhana pun tak mahu kerana tak mahu terkait dengan PAS”.