
Panel tiga hakim membenarkan permohonan peguam negara untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan pada 6 Jan berdasarkan tujuh soalan kebenaran.
Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim berkata soalan kebenaran yang dikemukakan oleh peguam negara telah melepasi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Soalan-soalan yang dikemukakan adalah berkepentingan awam, yang perlu dibicarakan lagi oleh mahkamah ini,” katanya mengenai keputusan sebulat suara itu.
Turut bersidang Hakim Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah.
Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang kerana rasuah dalam kes SRC International, hadir di mahkamah untuk prosiding hari ini.
Mahkamah menetapkan pendengaran rayuan pada 1 dan 2 Julai.
Hasnah turut mengarahkan peguam negara menyegerakan pemfailan notis dan memorandum rayuannya.
“Kami tidak akan membenarkan penangguhan melainkan disebabkan kematian atau hampir kematian,” katanya.
Peguam Shafee Abdullah membuat permohonan lisan untuk rayuan didengar oleh panel lima atau tujuh hakim, tetapi Hasnah berkata ia terserah kepada ketua hakim negara untuk membuat keputusan.
Peguam Negara Dusuki Mokhtar yang hadir secara peribadi turut dibantu Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambali dan Nurhafiza Azizan.
Pada 24 Mac, Dusuki membangkitkan tujuh persoalan undang-undang untuk meyakinkan hakim bahawa terdapat merit dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pengenalan bukti baharu dalam bentuk titah adendum tambahan yang dikeluarkan Agong terdahulu.
Dusuki berkata mahkamah tertinggi perlu memutuskan sama ada beban itu berada pada peguam negara pada peringkat kebenaran prosiding semakan kehakiman untuk mengemukakan semua keterangan yang diperlukan di mahkamah.
Beliau berkata majoriti, dalam membenarkan rayuan Najib, telah memutuskan bahawa kerajaan dan peguam negara sepatutnya menangkis keterangan mengenai kewujudan addendum itu.
Pada 6 Jan, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum tambahan itu.
Peguam negara, sebagai penjaga kepentingan awam, menentang rayuan Najib untuk memulakan pendengaran atas alasan ia remeh.