
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Miti Hanafi Sakri mengumumkan angka itu pada majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 (Mihas).
“Malaysia terus mengekalkan kedudukan teratas dalam ranking Petunjuk Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut. Kekuatan Malaysia terletak pada kewangan Islam, makanan halal, serta media dan rekreasi.
“Pada 2024, eksport produk halal Malaysia mencecah RM61.79 bilion, meningkat 15% daripada RM53.72 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2023,” katanya.
Menurut Hanafi, industri halal merupakan sebahagian besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan unjuran menganggarkan sumbangannya akan meningkat kepada 10.8%, atau RM231 bilion, menjelang 2030.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh ekosistem halal kita yang teguh dalam sektor seperti makanan dan minuman, kewangan dan perjalanan,” katanya.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Reezal Merican Naina Merican menyifatkan sasaran eksport negara sebanyak RM1.58 trilion tahun ini sebagai ‘sederhana’, walaupun beliau meramalkan cabaran akan datang.
Meskipun begitu, Reezal berkata, Matrade sedang melaksanakan beberapa strategi, termasuk mempelbagaikan pasaran, khususnya ke arah pasaran sedang pesat membangun.
“Kita beri tumpuan pada rakan dagangan yang kini menyumbang kepada lebihan dagangan kita,” katanya.
“Pada masa sama, kita juga sedang teliti rakan kongsi yang mana kita ada defisit perdagangan, dan teroka bagaimana kita boleh hapus atau kurangkan jurang itu.”
Pada Mac, dilaporkan bahawa Matrade ditugaskan untuk meningkatkan nilai eksport negara sebanyak 5% kepada RM1.58 trilion pada tahun ini.
Menjelang akhir tahun lepas, Matrade mencatatkan eksport RM1.51 trilion, lebih RM10 bilion daripada sasaran sebenar.