
Berucap pada Mesyuarat Menteri Luar Rakan BRICS 2025 di Rio de Janeiro, Brazil pada Selasa, beliau berkata, gelombang tarif yang mengejutkan masyarakat global bukan sekadar ancaman, sebaliknya satu pendedahan dan peluang.
Menurutnya, Selatan Global secara kolektif semakin menjadi aktor utama dalam penyusunan semula landskap global dan tidak boleh terus berpuas hati dengan peranan pasif dalam proses membuat keputusan dunia.
“Ini peluang untuk membentuk semula kerjasama antarabangsa dengan cara yang mencerminkan kekuatan kita dan lebih memenuhi keperluan kita.
“Kita mesti bersikap proaktif, berpandangan jauh dan bersatu dalam membentuk sistem dunia adil dan berasaskan kerjasama. Malaysia sedia bekerjasama dengan BRICS dan semua rakan berkongsi visi ini,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi khas bertemakan “Peranan Selatan Global dalam Memperkukuh Multilateralisme” semasa mesyuarat itu.
Merujuk Asean sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah USD3.8 trilion, beliau berkata, rantau ini menawarkan kuasa beli signifikan, prestasi eksport kukuh dan pendekatan diplomasi terbuka.
Mohamad yang juga dikenali Tok Mat berkata, selaku pengerusi Asean tahun ini, Malaysia sedang memimpin rantau ini ke arah perpaduan, penyepaduan ekonomi dan kepelbagaian strategik selaras peranan serantaunya yang semakin meningkat.
“Menerusi komitmen kepada seni bina serantau terbuka, berasaskan peraturan dan inklusif, Asean memberi tumpuan kepada pengukuhan perdagangan antara wilayah, pembangunan rantaian bekalan berdaya tahan serta penerokaan industri baharu berteraskan kelestarian dan inovasi.”
Beliau turut menyatakan BRICS merupakan pemangkin kepada ketahanan ekonomi, keseimbangan politik dan kemajuan sosial.
“Bersama, kita berupaya membentuk semula landskap kerjasama antarabangsa – bukan sekadar pengkritik kepada sistem lama, tetapi sebagai arkitek kepada sistem lebih adil.”
Beliau turut menyuarakan sokongan Malaysia terhadap kepimpinan Brazil selaku pengerusi BRICS tahun ini serta keutamaan digariskan, yang disifatkannya tepat pada masa dan penting.
Mengenai perubahan iklim, katanya, negara Selatan Global mesti memimpin peralihan tenaga secara adil, sambil menggesa pembiayaan iklim yang ditawarkan bersifat mudah diakses, mampu milik dan disesuaikan dengan keperluan negara membangun.
Beliau turut mencadangkan kerjasama lebih mendalam dalam kalangan anggota BRICS dan negara lain dalam bidang pertanian pintar iklim, pengurusan air serta teknologi seperti penangkapan karbon dan inovasi pelepasan rendah.
Mengenai kesihatan global, Mohamad berkata, Malaysia sedia bekerjasama dengan BRICS untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, berkongsi kepakaran dan mempromosikan penyelesaian mampan serta inklusif menerusi model pembiayaan hibrid awam-swasta yang menjamin keterjangkauan dan kemampanan.
Beliau turut menekankan keperluan pelaburan dalam infrastruktur digital serta peningkatan celik digital dan perdagangan digital rentas sempadan dalam kalangan negara Selatan Global bagi memanfaatkan potensi ekonomi digital.
Mengenai kecerdasan buatan (AI), katanya, Malaysia menyeru tadbir urus AI bertanggungjawab dan inklusif.
“Kami mengalu-alukan kerjasama BRICS dengan Malaysia dalam penggunaan AI beretika, kesaksamaan data dan pembangunan kemahiran – bagi memastikan AI memperkasa semua negara.”