
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata MCA masih belum mampu menarik sokongan pengundi Cina manakala BN bergantung pada Umno yang ketika ini lemah.
Beliau memahami kekecewaan MCA memandangkan ia tiada peranan dalam kerajaan sekarang, namun parti itu masih perlu membuktikan ia boleh menjadi rakan kongsi yang penting.
“MCA perlu pamerkan rakan sebenar Umno adalah MCA bukan DAP dalam menarik pengundi bukan Melayu tetapi dalam hal ini MCA belum keluar daripada kepompong terpaksa bergantung kepada Umno,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon dipetik Sin Chew Daily, menggesa parti itu mengawal masa depannya sendiri jika Barisan Nasional terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Selayang 2025, beliau berkata MCA memberi lebih dua tahun kepada BN untuk merancang semula selepas PRU15, namun ketidakpastian berterusan BN menyebabkan ahli MCA kecewa dan keliru.
Pada Selasa lalu, Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li berkata kerjasama BN dan PH bukan hanya mengecilkan pengaruh politik MCA, tetapi juga mempercepat kemerosotan serta menjejaskan kelangsungan Umno.
Heng berkata jika trend ini diteruskan parti-parti komponen BN hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan yang didominasi PH.
“Untuk gerak solo sebagai parti politik sudah pasti MCA tidak dapat menang satu kerusi pun,” kata Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia.
Malah, MCA hanya mengukuhkan kedudukan DAP dalam kerajaan sekiranya ia meninggalkan BN. “Ini memberi ruang lebih kuat kepada DAP untuk menjadi parti mewakili kaum Cina dalam kerajaan perpaduan.”
Mazlan berpandangan MCA harus terus bersama kerajaan perpaduan dan memanfaatkan BN untuk PRU16.
“Lihat Gerakan juga tidak berjaya walaupun menyertai Perikatan Nasional,” katanya.