
Amanah Perlis mengumumkan PH dan BN di negeri itu akan mengadakan perbincangan bagi ‘menyelaras pendirian dan tindakan’ dalam masa terdekat.
“Amanah Perlis menegaskan bahawa parti ini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRK, sekiranya ia berlaku,” menurut kenyataan.
Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji, tengah hari tadi.
Perkembangan itu menyusuli pengumuman PAS semalam, bahawa keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) sebagai ahli parti terhenti, atas ketetapan yang dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan PAS.
Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Fasal 76 pula menyentuh tatertib bagi ahli PAS.
Isnin lalu, FMT memetik sumber melaporkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar Shukri Ramli.
Saad, Fakhrul dan Ridzuan dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri, selain lima wakil rakyat Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena), menurut sumber.
Sebelum situasi ini, PAS menduduki sembilan kerusi manakala Bersatu lima kerusi, daripada 15 kerusi DUN.
PH Perlis, yang menduduki satu kerusi DUN, semalam mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran semasa, untuk kekal sehingga tamat penggal.