BN sudah tak menentu sebelum PRU15, kata penganalisis

BN sudah tak menentu sebelum PRU15, kata penganalisis

Penganalisis berkata kemerosotan MCA sebelum PRU15 kesan Umno beralih ke kanan, menjadikan parti itu dipinggir bukan Melayu.

General BN and PH flags
Perdebatan kerjasama BN dengan PH kembali bangkit selepas Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon seru partinya menentukan masa depan sendiri, sambil menyatakan kekecewaan akar umbi ketiadaan hala tuju BN selepas PRU15.
PETALING JAYA:
Penganalisis menolak pandangan Pakatan Harapan (PH) cuba ‘melumpuhkan’ Barisan Nasional (BN) dari dalam, sambil menyatakan gabungan itu sudah tidak menentu sebelum PRU15.

Asrul Hadi Abdullah Sani, dari firma penasihat strategik ADA Southeast Asia, berkata Umno parti dominan BN menjadi terlalu fokus kepada politik berteraskan Melayu.

“Apabila Umno beralih lebih jauh ke kanan, ia meminggirkan sokongan bukan Melayu BN.

“Ini menyumbang kepada kelemahan gabungan berkenaan dan mengurangkan kekuatan parti gabungan Umno,” katanya kepada FMT, merujuk kepada MCA dan MIC.

Selepas PRU 2018, Umno menekankan naratif perpaduan Melayu-Muslim, terutama ketika bersama PAS dalam Muafakat Nasional.

Kajian oleh ISEAS-Yusof Ishak Institute sebelum itu, memaparkan antara 2013 dan 2018, kepuasan pengundi Cina terhadap kerajaan BN pada masa itu jatuh 4% hingga 19%. Sebaliknya, selepas kemenangan PH pada 2018, kepuasan pengundi Cina terhadap kerajaan melonjak kepada 88%.

Perbahasan mengenai kerjasama BN dengan PH dalam kerajaan perpaduan kembali tercetus baru-baru ini, selepas Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menyeru parti itu menentukan masa depan sendiri, sambil menyatakan kekecewaan akar umbi terhadap hala tuju BN sejak PRU15.

Dalam maklum balas, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros membidas komen Chong sebagai ‘pendek akal’, dengan menegaskan Umno belum pulih sepenuhnya walaupun kembali berkuasa bersama PH.

Susulan itu, Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhi Li menjawab Azleen, sambil mendakwa PH mahu ‘melumpuhkan BN dari dalam’, dan memberi peringatan kerjasama membuta tuli akan menjadikan BN tidak relevan.

Namun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, percaya isu sebenar terletak pada ketakutan MCA sendiri untuk terus tenggelam dan tidak lagi relevan dalam landskap politik, di mana pengundi Cina secara majoriti menyokong DAP.

“Apa-apa pun, dakwaan DAP dan PKR memberi laluan kepada BN lebih tepat, dan mereka melakukannya bagi kelangsungan kerajaan ini,” katanya.

Katanya, Umno menunjukkan tanda kembali bangkit, mengambil kira prestasi pada PRK di Pelangai, Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning sebagai bukti.

“Kita dapat lihat pada siri PRK. Masih ada sokongan kepada BN jika strateginya betul,” katanya.

Asrul yang senada, berkata jentera akar umbi Umno kekal kuat walaupun berlaku pertikaian dalaman.

“Ia menjadikannya kekal kuasa signifikan dalam politik Malaysia.

“Namun, rakannya MIC dan MCA malangnya sedang mengalami kemerosotan populariti dan perlu menangani beberapa persoalan asas yang mendesak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.