
Anwar Ibrahim berkata, negara itu setuju berunding lebih lanjut dengan Malaysia hasil mesyuarat dalam lawatan delegasi Malaysia diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz ke Washington pada 22 hingga 24 April lalu.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, setakat ini tawaran Malaysia kepada AS termasuklah menangani halangan bukan tarif disenaraikan dalam National Trade Estimate Report 2025 dikeluarkan oleh negara itu baru-baru ini.
“Hasil mesyuarat bersama Jamieson Greer, United States Trade Representative dan Howard Lutnick, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, kita telah menerima maklum balas positif daripada kerajaan Amerika Syarikat.
“Jemaah Menteri dan Mesyuarat National Geoeconomic Command Centre (NGCC) telah bersetuju supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) memulakan proses rundingan dengan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang khas Dewan Rakyat.
“Meskipun ini perbincangan awalan, namun saya ingin menekankan bahawa, kerajaan Amerika Syarikat bersetuju berunding dengan lebih lanjut dengan Malaysia dan ada kemungkinan mengurangkan tarif timbal balik dikenakan.”
Beliau bagaimanapun menegaskan proses itu masih di peringkat awal tanpa ada sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.
Dalam konteks pengerusi Asean, Anwar berkata beliau juga meneruskan perbincangan dengan semua rakan sejawat yang menyatakan sokongan penuh kepada Malaysia untuk membentuk suara kolektif.
Menurutnya, mereka juga menekankan kepentingan kebersamaan Asean sebagai sebuah blok ekonomi besar dalam mengadakan rundingan bersama AS.
“Asean meliputi kekuatan ekonomi berjumlah USD4 trilion pada 2024 dengan jumlah penduduk mencecah seramai 640 juta orang.
“Sebarang pendirian terhadap tarif Amerika Syarikat perlu diambil secara bersama sebagai sebuah blok Asean yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan strategik kita,” katanya.
Beliau turut menekankan usaha Malaysia untu meneroka dan membuka pasaran perdagangan baharu, sekali gus mengelak kebergantungan hanya kepada satu pasaran besar saja.
Menurutnya, langkah itu sudah dimulakan pentadbirannya sejak setahun lalu, dalam kerangka Asean dan pertemuan dengan pemimpin utama negara teluk, China serta BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Pada 2 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif timbal balik terhadap 49 negara, berkuat kuasa 9 April.
Selain Malaysia yang dikenakan tarif 24%, negara lain terkesan termasuk Kemboja (49%), Laos (48%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%), dan Filipina (18%).
Bagaimanapun, AS pada 8 April mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif itu untuk memberi ruang kepada rundingan.