Ambil iktibar gangguan elektrik di Sepanyol, Portugal, pesan TPM

Ambil iktibar gangguan elektrik di Sepanyol, Portugal, pesan TPM

Selasa lalu, media antarabangsa melaporkan gangguan bekalan elektrik belum pernah berlaku di Sepanyol dan Portugal menjejaskan kira-kira 55 juta penduduk.

FADILLAH YUSOF
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Malaysia perlu memastikan keterjaminan bekalan elektrik, khasnya di negeri Semenanjung Malaysia yang tiada sumber tenaga hidro mencukupi. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Malaysia perlu mengambil iktibar aspek penggunaan tenaga boleh baharu (RE) daripada gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Sepanyol dan Portugal hujung bulan lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, negara perlu memastikan keterjaminan bekalan elektrik, khususnya di negeri Semenanjung Malaysia yang tiada sumber tenaga hidro mencukupi.

“Di Semenanjung masih menghadapi cabaran bagaimana hendak memastikan keterjaminan bekalan elektrik sebab tidak cukup sumber air kerana di sana bergantung kepada tenaga solar (untuk RE) yang hanya tahan empat hingga lapan jam.

“Ini cabaran yang berlaku, malah di Eropah sekali pun timbul masalah di Sepanyol dan Portugal kerana tidak dapat kestabilan talian penghantaran elektrik,” katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Persaudaraan Masjid, Bintangor dan Haji Taha Kuching, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, dalam konteks Sarawak, perbincangan bersama Premier Sarawak, Abang Johari Openg akan diadakan bagi memastikan sistem grid di negeri ini stabil, sekali gus menarik minat pelabur.

Selasa lalu, media antarabangsa melaporkan gangguan besar bekalan elektrik belum pernah berlaku di Sepanyol dan Portugal dengan kira-kira 55 juta penduduk terkesan.

Insiden itu turut menyebabkan ribuan penduduk terkandas dalam kereta api dan lif, selain akses telefon serta internet terputus dengan punca sebenar masih dalam siasatan.

Sepanyol antara pengeluar RE terbesar di Eropah dan ini mencetuskan perdebatan mengenai kestabilan bekalan tenaga dijana daripada solar serta angin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.