
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendakwa negara sedang berdepan satu bentuk serangan ekonomi yang belum pernah dihadapi dalam dekad ini, namun ‘kerajaan masih dalam zon selesa’.

Dakwanya, Malaysia tidak cekap menghadapi krisis perang dagang berbanding negara jiran seperti Singapura yang tanpa berlengah menggandakan pelaburan strategik, membentuk pelan kecemasan ekonomi dan dasar lindung nilainya susulan pengumuman Trump.
“Tapi di Malaysia? Tiada satu pun dalam ucapan perdana menteri yang menyebut ini sebagai krisis nasional. Tiada amaran. Tiada kesedaran awam. Tiada pengisytiharan darurat ekonomi.
“Sedangkan seluruh sistem eksport kita, khususnya dalam sektor elektrik & elektronik yang menyumbang 60% eksport ke AS kini berada dalam kedudukan paling terdedah,” katanya ketika perbahasan sesi khas Dewan Rakyat berkait tarif timbal balas AS.
“Malaysia tidak boleh lagi mengurus negara ini dengan pendekatan ‘business-as-usual’. Apa yang kita perlukan hari ini adalah kerajaan yang mempunyai mentaliti perang – bukan sekadar mentaliti rundingan.”
Pada 2 April, Donald mengumumkan tarif menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif timbal balik terhadap 49 negara, berkuat kuasa 9 April.
Selain Malaysia yang dikenakan tarif 24%, negara lain terkesan termasuk Kemboja (49%), Laos (48%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%), dan Filipina (18%).
Bagaimanapun, AS pada 8 April mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif itu untuk memberi ruang kepada rundingan.
Wan Fayhsal berkata Malaysia seharusnya telah bersedia apabila Trump kembali memegang tampuk pentadbiran AS kerana beliau cukup diketahui dengan dasar ‘utamakan AS’.
“Kenapa lambat bertindak, kenapa kerajaan lalai selama ini?,” soalnya yang meminta kerajaan membentangkan pelan mitigasi kepada sektor terjejas.
Beliau turut memberi amaran bahawa rundingan bersama AS bukan jaminan untuk Malaysia tidak terkesan dengan kenaikan tarif berkenaan.
“Kerajaan seolah-olah terlalu percaya rundingan dengan AS akan menyelesaikan semuanya. Sejarah menunjukkan rundingan dengan Trump tidak pernah berjalan tanpa tekanan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengumumkan pelan kesiapsiagaan nasional perang perdagangan merangkumi pelaburan dalam teknologi tempatan, perlindungan rantaian bekalan dan pelan eksport baru.
“Percepat kelulusan pelaburan dan pengeluaran bantuan kepada PKS, perincian pelan kontingensi strategik bagi menghadapi kegagalan rundingan dengan AS dalam tempoh 90 hari.
“Dan jaminan kepada pelabur asing dan tempatan dengan kenyataan dasar yang jelas bahawa integriti institusi dan ketelusan urus tadbir akan diperkuat, bukan dikompromi,” gesanya.