Terlalu awal untuk tahu impak tarif AS terhadap Malaysia, kata PM

Terlalu awal untuk tahu impak tarif AS terhadap Malaysia, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, pentadbiran Donald Trump setuju runding lanjut dengan Malaysia.

anwar ibrahim
Anwar beritahu sidang khas Dewan Rakyat hari ini bahawa kadar tarif timbal 24% yang dikenakan AS terhadap Malaysia mungkin dikurangkan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Masih terlalu awal untuk menilai sama ada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat akan memberi kesan terhadap Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, potensi impak tidak dapat dinilai setakat ini kerana pentadbiran Donald Trump telah mengumumkan penangguhan 90 hari pelaksanaan ‘tarif timbal balik’ 24% yang dikenakan ke atas kebanyakan barangan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia akan berdepan kesukaran jika tarif dikenakan ke atas semikonduktor.

Malaysia pengeluar semikonduktor kedua terbesar di dunia, dengan 60% dieksport ke AS.

“Jika mereka kata, tiada lagi semikonduktor Malaysia, kita mungkin hadapi masalah. Buat masa ini, (semikonduktor) dikecualikan,” katanya pada sesi pertemuan dengan institusi pendidikan tinggi swasta di Management and Science University.

Awal hari ini, Anwar memberitahu sidang khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS bahawa kadar 24% itu mungkin dikurangkan.

Kerajaan AS telah bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia, katanya.

“Dan jika kita berjaya, ada kemungkinan AS akan kurangkan tarif timbal balik yang dikenakan.”

Anwar berkata, tarif membawa impak negatif ke atas rantaian bekalan dan perdagangan sedunia, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan akan ‘mengganggu kestabilan ekonomi Asean’.

Beliau mengumumkan RM1 bilion sebagai langkah membantu PKS yang terjejas akibat pengumuman tarif itu mendapatkan pinjaman daripada bank perdagangan.

Katanya, kerajaan juga telah meluluskan tambahan RM500 juta pinjaman mudah yang ditawarkan melalui institusi kewangan pembangunan untuk membantu usahawan PKS terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.