
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk menubuhkan pasukan terbabit.
“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat malam ini untuk mengetahui perkembangan terkini siasatan kes,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau turut mengesahkan 16 orang telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
Razarudin berkata pihaknya juga masih menyiasat keterangan pemandu e-hailing yang mendakwa individu dipercayai melarikan Pamela di lokasi kejadian memakai uniform dan vest polis.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan untuk menentukan sekiranya suspek menyamar polis atau sememangnya anggota yang membuat onar.
“Yang itu memang kami tidak bertolak ansur selama ini. Siasatan kita mana-mana anggota terlibat samun atau kes culik, kita tuduh mahkamah, ada dalam sejarah polis,” katanya.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.