Perjanjian dagang dengan AS tak jejas kedaulatan negara, kata bekas panglima tentera

Perjanjian dagang dengan AS tak jejas kedaulatan negara, kata bekas panglima tentera

Zulkifeli Zin berkata perjanjian itu telah diteliti dengan ketat oleh MITI, Jabatan Peguam Negara dan Jemaah Menteri.

Zulkifeli Zin berkata Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-AS menetapkan hubungan rundingan bersama antara Washington dan Putrajaya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas panglima angkatan tentera Zulkifeli Zin menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat (AS) telah melalui proses semakan ketat oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jemaah Menteri sebelum ditandatangani.

Beliau berkata perjanjian itu digerakkan oleh MITI dan diteliti secara mendalam oleh AGC sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan serta kelulusan.

“Saya percaya semua prosedur telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya yakin pegawai berpengalaman di AGC dan MITI tidak akan sekali-kali menggadaikan kedaulatan negara,” katanya seperti dipetik Bernama selepas taklimat khas MITI mengenai perjanjian itu.

Kenyataan Zulkifeli menyusul tindakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid, yang mengancam mahu menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan berhubung perjanjian itu.

Rosol dari Bersatu antara lain mempersoalkan sama ada perdana menteri telah mendapatkan kelulusan Kabinet, nasihat peguam negara serta perkenan Majlis Raja-Raja sebelum menandatangani perjanjian berkenaan.

Menurut Zulkifeli, perjanjian itu tidak mengancam kedaulatan negara kerana menetapkan hubungan rundingan dua hala antara Washington dan Putrajaya yang tidak berat sebelah.

“Ada yang anggap kita perlu minta kelulusan AS untuk membeli barangan, tetapi frasa ‘shall consult’ bermaksud kita berbincang, bukan memohon kebenaran.

“Jika Malaysia atau AS tidak setuju atas kepentingan masing-masing, kedua-duanya berhak menghentikan perjanjian. Jadi bagaimana boleh ditafsirkan seolah-olah kedaulatan kita tergadai?” katanya.

Taklimat itu turut dihadiri bekas ketua polis negara Razarudin Husain dan Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia Shah Yassin.

Razarudin berkata penjelasan MITI menjawab dakwaan perjanjian itu menjejaskan kedaulatan Malaysia, sambil menambah mukadimah perjanjian menekankan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara.

Mukadimah perjanjian itu antara lain menegaskan bahawa Malaysia dan AS berkongsi nilai seperti komitmen kepada kedaulatan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang berdaya tahan, serta berhasrat memperkukuh hubungan perdagangan dengan menangani halangan tarif dan bukan tarif.

Shah pula berkata perjanjian itu memberi manfaat kepada kedua-dua negara tanpa menjejaskan maruah Malaysia.

“Sebagai bekas komander selama 22 tahun, saya tidak nampak kedaulatan negara tergugat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.