21 warga ATM kursus di Pakistan, India selamat

21 warga ATM kursus di Pakistan, India selamat

Menteri pertahanan berkata pihaknya akan terus memantau keadaan semasa di dua negara itu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata 18 pegawai dan anggota ATM sedang mengikuti kursus di beberapa kolej ketenteraan di India, manakala tiga di Pakistan. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Seramai 21 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalani kursus di kolej ketenteraan Pakistan dan India dalam keadaan selamat.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata 18 pegawai dan anggota ATM sedang mengikuti kursus di beberapa kolej ketenteraan di India, manakala tiga di Pakistan.

“Mereka (pegawai dan anggota) tidak terlibat dalam kawasan berlakunya serangan serta konflik, dan sebahagian besarnya memang akan habis tahun ini.

“Ketika ini, semuanya dalam keadaan selamat, tapi kita akan terus memantau,” katanya selepas merasmikan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Bhd di Ladang Telok Sengat di sini.

Ketegangan antara Pakistan dan India mengakibatkan sekurang-kurangnya 43 kematian setakat ini, dengan Islamabad melaporkan 31 orang awam terbunuh akibat serangan udara dan tembakan rentas sempadan oleh India, manakala New Delhi pula melaporkan sekurang-kurangnya 12 kematian susulan serangan balas Pakistan.

Serangan India dilancarkan dua minggu selepas New Delhi mendakwa Islamabad menyokong serangan terhadap pelancong di Kashmir, namun tuduhan itu dinafikan Pakistan.

Jurucakap tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry dilaporkan berkata, lima jet pejuang India ditembak jatuh di sempadan.

Terdahulu, Projek Jana Veteran adalah inisiatif digerakkan Boustead Plantations dengan usaha sama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM untuk membantu mereka menjana pendapatan stabil melalui program pertanian, selain membantu usaha kerajaan memperkukuh aspek keterjaminan makanan.

Projek di Ladang Telok Sengat juga perintis memfokuskan tanaman halia dan cili fertigasi, dengan Boustead Plantations secara awal menyediakan 15 plot fertigasi di tanah seluas 12 hektar bagi tujuan penanaman halia sebelum diperluaskan kepada tanaman lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.