Kerjasama perlu ikhlas, GRS tak mahu ‘Langkah Kinabalu’ berulang, kata Joniston

Kerjasama perlu ikhlas, GRS tak mahu ‘Langkah Kinabalu’ berulang, kata Joniston

Ketua Penerangan GRS ulas keterbukaan BN jalin kerjasama pada PRN Sabah.

GRS mahu kerjasama membawa kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah,menurut Joniston Bangkuai. (Gambar Faebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpendapat, sebarang kerjasama politik yang dibentuk dengan parti itu untuk PRN akan datang mesti berlandaskan keikhlasan dan matlamat sejajar.

Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai berkata, keselarasan matlamat diperlukan terutamanya dalam usaha membantu pembangunan Sabah serta menjaga kepentingan rakyat negeri itu.

Joniston Bangkuai.

“Kita tidak mahu satu lagi episod seperti yg berlaku pada Januari 2023, apabila Umno berkomplot dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menggulingkan kerajaan yang diterajui GRS,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Zahid Hamidi berhubung keterbukaan menjalin kerjasama dengan GRS pada PRN Sabah, yang disifatkannya mencerminkan pengiktirafan pengerusi BN itu terhadap keunikan dan kedinamikan politik Sabah

Bagaimanapun, Joniston percaya sebarang bentuk kerjasama akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat majlis tertinggi GRS yang dianggotai lapan parti tempatan.

“Yang penting bagi kita ialah kerjasama yang membawa kepada kestabilan, kemajuan, dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Terdahulu, Zahid yang juga presiden Umno berkata, pihaknya masih terbuka menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi PRN Sabah akan datang, menegaskan segala keputusan adalah bersandarkan konsep ‘BN-PH plus’.

“Maka terserah kepada kepimpinan BN Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan paling bijaksana bagi menentukan dominasi kesepakatan untuk PRN17,” katanya.

Polemik kerjasama PRN timbul susulan pengumuman Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin pada 13 April berhubung keputusan BN bekerjasama dengan PH.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS pada masa sama turut membayangkan komponen itu akan bekerjasama dengan PH.

Sebelum ini, Bung mengumumkan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS.

Pada 2023, Umno dan Warisan dilaporkan bekerjasama dalam episod ‘Langkah Kinabalu’ dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Hajiji.

Usaha itu tidak berhasil malah menyebabkan Bung dipecat sebagai timbalan ketua menteri.

Selain beberapa Adun Umno dan semua wakil rakyat GRS, Hajiji turut disokong PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.