Rafizi perlu kekal menteri, tegur pemimpin Umno

Rafizi perlu kekal menteri, tegur pemimpin Umno

Puad Zarkashi membidas Rafizi Ramli atas kesediaan letak jawatan, mengatakan apa guna formula tanpa kuasa.

Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi, kata Rafizi Ramli perlu buktikan kerjanya sebagai menteri.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menegur Rafizi Ramli supaya tidak meletak jawatan sebagai menteri sekalipun gagal mempertahan jawatan timbalan presiden PKR hujung bulan ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, membidas Rafizi atas kesediaan meletak jawatan, mengatakan beliau patut berhenti menjaja ‘formula’ kalau mahu berhenti.

“Apa guna formula jika ia tidak boleh diuji. Macam mana mahu diuji keberkesanannya, jika tidak pegang kuasa atau bila ada kuasa, tetapi dia tidak mahu jadi menteri,” katanya di Facebook.

Puad mengulas petikan audio siar ‘Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri’ yang menampilkan Rafizi kelmarin.

Beliau menarik perhatian kepada kenyataan Rafizi bahawa dia bersyukur sekiranya kembali sebagai Ahli Parlimen biasa, antaranya kerana tidak dibebankan dengan tugas sebagai menteri yang banyak tanggungjawab.

Puad mengakui beban menteri itu, namun berkata kenyataan Rafizi tersebut bukan cakap yang sesuai oleh seorang reformis.

“Jadi menteri memanglah teruk. Tidak tidur lena kerana akan difitnah. Tetapi itu bukan cakap yang sesuai oleh seorang reformis. Mana boleh kata tidak terbuat,” jawabnya.

Puad menyoal bagaimana politik baru akan menjadi realiti jika itu mentaliti pelapis masa depan.

“Mesti idealis tetapi realis. Mana boleh kerja menghasut sahaja. Rafizi perlu kekal menteri. Nurul Izzah kena jadi menteri. Buktikan kerja kamu,” katanya.

Rafizi bakal ditentang Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.

Pada 21 Apr lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada rombakan Jemaah Menteri bakal berlaku susulan daripada keputusan pemilihan PKR tahun ini.

Katanya, keputusan pemilihan merupakan urusan parti dan tiada kaitan dengan urusan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.