
Merujuk tulisan Tajuddin Rasdi dalam kolumnya di FMT semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi turut mempersoalkan gambaran yang Muhyiddin memiliki kuasa jentikan.
“Sedangkan Muhyiddin yang menggelupur sampai letak jawatan. Ini kerana Tajuddin tak tahu apa yang berlaku dalam PN dan Bersatu.
“Hanya Muhyiddin yang tahu tiga Ahli Parlimen (MP) sahaja yang sokong beliau. MP Bersatu lain semuanya ikut Hamzah.
“Pengerusi negeri yang letak jawatan seperti Azmin Ali, Shaharudin Jamal dan Peja (Ahmad Faizal Azumu) bukan Ahli Parlimen,” katanya di Facebook.
Tajuddin dalam tulisannya itu berkata Muhyiddin memerangkap Presiden PAS Hadi Awang dan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dengan hanya coretan pena dan tulisan WhatsApp, merujuk kepada episod sebelum Ahli Parlimen Pagoh berkenaan meletak jawatan sebagai pengerusi PN.
Beliau mendakwa Muhyiddin telah menelanjangkan keangkuhan Hadi dan pemimpin PAS lain kerana kegagalan mereka menampilkan calon pengerusi PN walaupun sentiasa mendakwa mempunyai calon sesuai mengetuai komponen pembangkang itu.
Tajuddin turut mendakwa situasi itu akan menutup ruang Hamzah menjadi pengerusi PN dan calon perdana menteri pada PRU16.
Namun katanya keadaan itu boleh berubah jika PAS berubah arah dan menamakan Hamzah yang jika berlaku akan menyebabkan Ahli Parlimen Larut itu dilabel sebagai proksi Hadi.
Keadaan itu juga akan membebaskan Muhyiddin daripada pandangan belum dari kem mana-mana, malah dilihat lebih licik dengan penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam merebut undi pelbagai kaum.