Mufti gesa jangan politikkan kedudukan Islam

Mufti gesa jangan politikkan kedudukan Islam

Mohd Sukki Othman berkata kekuatan Islam di Malaysia tidak terletak pada retorik keras.

Mohd Sukki Othman
Mohd Sukki Othman berkata Islam mengajar umatnya tidak menilai sesuatu isu hanya berdasarkan emosi, sentimen politik atau kepentingan kelompok tertentu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mufti Pulau Pinang menggesa semua pihak tidak mempolitikkan kedudukan Islam dalam negara kerana tindakan itu hanya mencetuskan kekeliruan, ketakutan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Sambil menolak kedudukan Islam terjejas, Mohd Sukki Othman menegaskan ia adalah agama persekutuan yang bukannya slogan kosong, tetapi termaktub dalam Perlembagaan dan diperkukuhkan dengan peranan Raja-raja Melayu sebagai ketua di negeri masing-masing.

“Dari sudut syarak, kewajipan memelihara agama (hifz al-din) merupakan maqasid syariah yang utama,” katanya kepada FMT, menyusuli kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkait isu Islam.

Dalam ucapan di konvensyen khas Pemuda Umno Sabtu lalu, Akmal bertanya: “Adakah kita mahu terus berada dalam kerajaan yang gagal menghormati agama Islam dan Raja-raja Melayu?

Susulan kenyataan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan dakwaan konon Islam terpinggir sambil menggesa rakyat tidak membiarkan sentimen berasaskan kaum dan agama mengalih hala tuju serta melemahkan kekuatan negara.

Anwar berkata, Malaysia sememangnya sebuah negara majoriti Melayu dan Islam, namun pada masa sama didiami masyarakat berbilang kaum dan agama sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Sukki berkata Islam mengajar umatnya tidak menilai sesuatu isu hanya berdasarkan emosi, sentimen politik atau kepentingan kelompok tertentu.

“Tidaklah setiap kelemahan pentadbiran, perbezaan pandangan atau keputusan politik boleh terus disimpulkan sebagai ancaman terhadap Islam. Penilaian mestilah dibuat berdasarkan fakta, realiti perundangan dan kesan sebenar terhadap pelaksanaan syariat serta kehidupan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, segala teguran, kritikan dan nasihat mesti disampaikan dengan bahasa yang membina, bukan dengan nada mengancam atau menimbulkan ketakutan.

“Kekuatan Islam di bumi Malaysia tidak terletak pada retorik keras, tetapi pada keupayaan umat Islam menunjukkan keadilan, amanah dan akhlak yang tinggi dalam memimpin dan mentadbir,” katanya.

Sukki turut mengingatkan, perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri, akibat perbalahan politik atau perebutan pengaruh hanya akan lebih melemahkan kedudukan agama itu berbanding faktor luaran.

“Kesimpulannya, mempertahankan Islam di Malaysia adalah kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan. Namun, ia mesti dilakukan berlandaskan ilmu, keadilan dan hikmah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.